Rakyat Sabah kritik Shafie pegang portfolio kewangan


The Malaysian Insight

KETUA Menteri Sabah Shafie Apdal dikritik orang ramai selepas melantik dirinya sebagai menteri kewangan negeri.

Pengguna maya mendakwa tindakan kerajaan Warisan-Pakatan Harapan (PH) itu tidak ubah seperti Barisan Nasional (BN).

Untuk rekod, bekas ketua menteri Sabah Musa Aman turut memegang portfolio kewangan.

Shafie, seorang ahli ekonomi berkata beliau mengambil tugas itu kerana mahu memulihkan semula keadaan kewangan negeri.

Bagaimanapun, rakyat Sabah tidak bersetuju dengan pandangan itu.

Penganalisis politik Dr Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak berkata posting di media sosial tentang Kabinet Shafie berbaur kekecewaan.

“Saya harapkan Kabinet ini diisi dengan orang yang lebih berpengalaman dalam membuat dasar dan mempunyai pencapaian yang terbukti dalam sektor awam dan swasta - dan juga orang yang mempunyai reputasi dan tidak terikat dengan politik.

“KM tidak harus memegang jawatan menteri kewangan kerana ia akan mewujudkan persepsi yang dia hanya mahukan kuasa dan pengaruh. Tidakkah jawatan KM itu sudah mencukupi?

“KM harus ingat - harapan rakyat tinggi - mereka mahu KM yang dilihat sanggup memisahkan dirinya daripada kuasa dan pengaruh yang berlebih-lebihan,” katanya.

Anak Sabah dalam mesej WhatApp menulis bahawa sejarah kini berulang kembali.

“Ini bukan isu tidak percaya, ia adalah tentang semak dan imbang… Rakyat Sabah bertindak berani dengan tidak mengundi kerajaan korup tetapi membiarkan ketua menteri pegang jawatan menteri kewangan bukan sahaja mengekalkan status quo tetapi menghina kemenangan tersebut,” katanya.

Pengundi Beverly Joeman berkata beliau bimbang dengan tindakan ketua menteri yang turut memegang jawatan menteri kewangan kerana ia adalah amalan yang sama dilakukan regim UMNO-BN.

“Pada PRU14, rakyat Sabah mahukan perubahan. Amat membingungkan apabila melihat trend yang sama berulang.

“Sejarah mengajar kita supaya lebih berhati-hati dan berwaspada, jika tidak merasa curiga, terlalu banyak kuasa akan jatuh kepada tangan seseorang pemimpin,” katanya.

Bagaimanapun, Joeman berkata beliau bersedia memberikan peluang selama lima kepada kerajaan baru untuk membuktikan bahawa mereka bekerja untuk rakyat.   – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen