AHLI Parlimen Segambut Hannah Yeoh tidak akan buang masa dan akan menunaikan janji kempen pilihan rayanya.
Salah satu isu yang diberi keutamaan oleh bekas speaker Selangor itu adalah mengenai pembangunan di Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail.
Dalam hantaran di Facebook semalam, Yeoh berkata beliau telah mengadakan mesyuarat pertama dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Amin Nordin Abd Aziz.
“Beliau memaklumkan kami bahawa DBKL telah menggantung buat sementara waktu semua permohonan pembangunan di Kuala Lumpur.
“Kami juga membangkitkan mengenai kes Taman Rimba yang ketika ini sedang menunggu semakan kehakiman,” katanya.
Yeoh memohon supaya DBKL mengambil berat mengenai keadaan jalan raya di sekitar Segambut.
Dilaporkan sebelum ini yang Yeoh dan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasatan penglibatan Yayasan Wilayah Persektuan dalam perjanjian penjualan tanah seluas 170 hektar, termasuk tanah di Taman Rimba Kiara.
Yeoh berkata beliau memberikan tumpuan terhadap Taman Rimba Kiara kerana ia adalah janji yang dibuat beliau kepada penduduk di situ.
Pada Jun 2016, DBKL meluluskan pembangunan perumahan mampu milik 29 tingkat, yang terdiri daripada 350 unit, dan lapan blok pangsapuri mewah (antara 42 dan 52 tingkat, terdiri daripada 1,766 unit) di atas tanah berukuran 4.86 hektar di Taman Rimba Kiara. – 17 Mei, 2018.
Komen