NAJIB Razak menghubungi musuhnya, Anwar Ibrahim sebanyak dua kali di penjara pada malam Barisan Nasional (BN) tewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Bila dia hubungi saya pada malam pilihan raya itu, saya nasihatkan beliau sebagai kawan untuk segera mengaku kalah,” kata Anwar dalam wawancara bersama Reuters.
Anwar memberitahu Najib supaya segera mengeluarkan kenyataan tanpa terus berlengah-lengah.
Bagaimanapun, itu bukanlah nasihat yang mahu didengari Najib. Anwar berkata Najib sebaliknya mahu tahu apa yang harus dilakukannya dan siapa yang harus dirujuknya.
“Dia mengelak… dia enggan menyerah kalah,” kata Anwar.
Ketika Najib membisu malam itu, Pengerusi Pakatan Harapan dan calon Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tampak lebih berani dengan mengumumkan kemenangannya.
Pada sidang media keesokan harinya, Najib berkata terpulang kepada Yang Dipertuan Agong untuk menentukan parti mana yang akan membentuk kerajaan kerana menurutnya tidak ada mana-mana parti yang memperolehi majoriti mudah dalam PRU14.
Pun begitu, Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh malam itu.
Anwar, yang dibebaskan dari penjara semalam selepas mendapat pengampunan diraja berhubung dakwaan meliwat, berkata Najib tidak cuba untuk ‘membeli’ beliau.
“Kalaupun dia merujuk kepada perkara itu (perjanjian) saya akan buat tidak tahu sahaja… Saya dengar sahaja apa yang dia mahu kata,” kata Anwar, menjawab pertanyaan sama ada Najib ada cuba untuk ‘membeli’ dirinya.
“Selepas panggilan kedua, dia benar-benar berkecamuk.”
Reuters tidak dapat menghubungi Najib bagi mendapatkan respons. – 17 Mei, 2018.
Komen