Perdagangan Malaysia-China akan terus meningkat di bawah kerajaan Pakatan


The Malaysian Insight

HUBUNGAN perdagangan antara Malaysia dan China akan terus berkembang di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kata dua kumpulan perniagaan kaum Cina tempatan.

Mereka juga merasakan pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan akan memberikan nilai tambah yang positif kepada hubungan perdagangan dengan China.

Presiden Dewan Perniagaan China-Malaysia (MCCC) Tan Yew Sing berkata pelantikan Lim bukan kerana beliau seorang Cina, namun disebabkan oleh prestasi baik yang ditunjukkannya semasa menerajui kerajaan Pulau Pinang sejak 10 tahun lepas, khususnya dalam aspek ekonomi.

“Komuniti perniagaan Cina tempatan yakin dengan kebolehan Lim untuk membawa ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” kata Tan.

Semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sedang berjalan, Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad berjanji akan menyemak semula semua projek mega yang diluluskan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), termasuk projek Infrastruktur yang menerima pelaburan besar daripada China.  

Semakan itu bagi memastikan projek berkenaan benar-benar memberi manfaat kepada Malaysia.

Tan berkata beliau tidak bimbang dengan langkah berkenaan kerana ia merupakan kelaziman dalam mana-mana negara demokrasi selepas berlaku pertukaran kerajaan.

Beliau berkata pentadbiran yang baru ini tidak pernah berkata akan menolak sebarang pelaburan daripada China.

Tan menyatakan semasa tempoh pentadbiran terdahulu, Dr Mahathir menyambut baik pelaburan daripada China.

“Beliau amat berjaga-jaga dengan AS dan mesra dengan China. Sekarang, masa sudah berubah, dunia juga sudah berubah.

“China adalah gergasi ekonomi dunia kini, dan Dr Mahathir mahu tidak mahu perlu mengiktiraf kekuatan negara itu. Beliau sebelum ini mengumumkan bahawa kerajaan PH akan menjadi kerajaan yang mesra perniagaan,” katanya.

Tan berkata, ketika ini, terdapat kekurangan dalam tenaga pakar yang mampu memudahkan perdagangan Malaysia-China.

“Saya fikir Malaysia kekurangan tenaga pakar, termasuk pekerja teknikal. Terdapat ramai kakitangan penyelidik dan pembangunan dari China dan mereka boleh berkongsi ilmu dan kemajuan dengan rakyat Malaysia.

“Bagi pihak China, mereka boleh mendapat manfaat daripada tenaga pakar  Malaysia yang menguasai pelbagai bahasa, tidak ada kemudaratan untuk kedua-dua pihak dalam pasaran global,” katanya.  

Kerajaan terdahulu di bawah pentadbiran Najib Razak mengalu-alukan insiatif “One-Belt-One-Road” daripada China, yang menyaksikan pelaburan bernilai berbilion ringgit daripada Tanah Besar itu masuk ke Malaysia, antaranya termasuk Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP), projek Melaka Gateway dan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL). Projek-projek berkenaan melibatkan pelaburan sejumlah AS$30 bilion (RM119 bilion).

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) Ter Leong Yap, percaya hubungan perdagangan antara Malaysia dan China akan membuahkan hasil.

Beliau berkata ACCCIM baru-baru ini menerima jemputan daripada bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, yang dilantik menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan, untuk mengadakan perbincangan secara “one-to-one”.

“Sudah tentu, kami akan berbincang mengenai pelaburan China. Perdana menteri berkata bahawa selagi projek itu memberikan manfaat kepada negara, kerajaan akan memberikan sokongan,” kata Ter.

Ter berkata walaupun pasaran saham mengalami penurunan pada Isnin, sehari selepas PRU14, ia kini mulai pulih dan stabil sekali gus memberi isyarat keyakinan pelabur terhadap kerajaan PH yang dipimpin Dr Mahathir.

Beliau berkata China merupakan rakan kongsi perdagangan terbesar Malaysia sejak sembilan tahun lepas dan berada di kedudukan keenam sebagai negara yang paling banyak melakukan pelaburan langsung asing ke Malaysia. Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara tahun lepas meningkat RM290.6 bilion, menekankan kepentingan pasaran Malaysia terhadap China.

“PH rasional dan kerajaan objektif dalam analisisnya berhubung pelaburan China, maka tidak ada persoalan berbangkit mengenai perdagangan dua hala akan terjejas selepas berlaku pertukaran kerajaan,” tambahnya.  – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen