Najib sambut 1 Ramadan bersama ibu


The Malaysian Insight

KETIKA polis masih menggeledah kediaman peribadinya, bekas perdana menteri Najib Razak mengambil peluang menyambut hari pertama Ramadan bersama ibunya Rahah Mohd Noah bagi meredakan ketegangan di sekelilingnya.

“Ayah saya luangkan masa berkualiti bersama Tun Rahah, ibu kesayangannya. Adalah menjadi kelaziman untuk berbuka puasa dengannya pada hari pertama bulan Ramadan,” kata anak bongsu Najib Ashman.

Hantaran itu dibuat Ashman di akaun Instragram miliknya beberapa minit lepas.

Ketika malam pertama Ramadan semalam, Najib dilihat menunaikan solat di sebuah masjid di Kampung Baru, Kuala Lumpur, 20 minit selepas sebuah kenderaan Vellfire dilihat meninggalkan kediaman peribadinya di Jalan Langgak Duta.

Itu merupakan kemunculan pertamannya di khalayak umum selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden Umno lima hari lepas.

Pengguna Twitter dengan nama Izzat Ikhwan dalam hantarannya pada jam 8.40 malam semalam berkata beliau sangat bertuah kerana mendapat peluang bersolat dengan Najib. Beliau turut memuat naik gambar Najib.

Najib meninggalkan masjid tersebut menggunakan pintu belakang.

Sebelum itu, pada jam 6.05 petang sebuah lori dilihat memasuki rumah Najib. Pemberita yang berada di sana berkata mereka nampak barangan diangkut masuk ke dalam lori berkenaan, namun tidak mengetahui barangan apa yang dibawa keluar.

Ketika berita ini ditulis, rumah Najib masih terus digeledah. – 17 Mei, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen