Peguam gesa kerajaan buka semula siasatan kes bunuh Altantuya


The Malaysian Insight

KERAJAAN baru Pakatan Harapan (PH) perlu membuka semula penyiasatan ke atas pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu di Shah Alam, kata peguamnya Ramkarpal Singh.

Siasatan semula kes pembunuhan itu, “salah satu misteri terbesar dunia”, katanya adalah perlu kerana tidak pernah jelas siapa yang memerintahkan dua pegawai polis - Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri - membunuh wanita itu dan meletupkan mayatnya dengan bahan peledak C4, kata peguam itu.

“Kerajaan PH yang baru perlu memperlihatkan kesungguhan yang kuat untuk menyiasat kes pembunuhan Altantuya atau berisiko dilabelkan tidak berbeza dengan pendahulunya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sirul dan Azilah didapati bersalah dan dihukum mati pada 2015. Azilah berada di Penjara Kajang menunggu hukuman mati dijalankan sementara Sirul dalam tahanan di Australia, di mana beliau melarikan diri sebelum hukuman dijatuhkan.

Ramkarpal, yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor daripada DAP, berkata memandangkan kedua-duanya sudah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman, mereka tidak boleh dibicarakan semula.

Satu cara untuk mencari kebenaran sekarang ialah dengan membuka semula siasatan untuk mengetahui siapa yang memerintahkan mereka membunuh warga Mongolia itu, katanya.

Beliau juga menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menentukan siapa yang mengarahkan pembunuhan Altantuya.

“Penemuan RCI dalam hal ini dapat membina asas pertuduhan berikutnya terhadap mereka yang memerintahkan pembunuhan Altantuya.

“Mereka mesti dituduh atas pembunuhan Altantuya kerana berkongsi niat bersama Azilah dan Sirul untuk membunuhnya walaupun mereka bukan pembunuhnya,” katanya.

Semasa perbicaraan pembunuhan ke atas dua pegawai itu, Ramkarpal berkata pendakwaan tidak pernah membawa keterangan berhubung siapa yang memerintahkan mereka membunuh Altantuya, terutamanya apabila ia jelas mereka tidak mengenalinya dan tidak mempunyai alasan melakukan jenayah itu.

Beliau juga menyatakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini tidak mengekstradisi Sirul dari Australia, hanya mengatakan ia mengkaji proses ekstradisi yang rumit selepas dipersoalkan berkali-kali.

“Penjelasan seperti itu tidak memberi keyakinan sama sekali dan menimbulkan syak wasangka kerajaan BN dengan sengaja tidak mahu mengekstradisi Sirul, kerana mungkin mempunyai maklumat yang mungkin melibatkan beberapa pihak.”

Ramkarpal juga berkata hakikat bahan letupan C4 yang digunakan untuk meletupkan mayat mangsa hanya dapat diperolehi daripada Kementerian Pertahanan memperkuatkan lagi spekulasi pembunuhannya mungkin diarahkan oleh mereka yang dikaitkan dengan kerajaan.

Pembunuhan itu sekian lama dikaitkan dengan skandal kapal selam Scorpene yang juga menghubungkan bekas perdana menteri dan menteri pertahanan Najib Razak kepada kontroversi melalui bekas penasihatnya, Abdul Razak Baginda.

Razak, seorang penganalisis pertahanan yang menjadi penasihat Najib antara 2000 hingga 2008 ketika beliau menjadi menteri pertahanan, dikatakan kekasih Altantuya. Razak didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu tetapi dibebaskan.

“Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam tanpa memanggilnya mempertahankan diri dengan pihak pendakwa tidak membuat rayuan terhadapnya,” kata Ramkarpal.

“Saya mengatakan sebelum ini yang dunia perlu tahu siapa yang mengarahkan pembunuhan itu dan alasan atau apa alasan di sebaliknya. Kerajaan PH mesti bertindak dengan pantas dalam hal ini mengikut undang-undang.” – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen