Pemimpin Pakatan sangka PM hanya tak boleh pegang jawatan menteri kewangan


The Malaysian Insight

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) tidak membantah apabila Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bakal memegang porfolio menteri pelajaran kerana menganggap perdana menteri hanya tidak boleh memegang jawatan menteri kewangan, kata sumber.

Sumber-sumber memberitahu Malaysia Decides, mereka terlepas pandang walaupun manifesto menyatakan perdana menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain.

“Semasa meayuarat Majlis Presiden PH tadi, tiada siapa bantah apabila Tun umumkan beliau akan pegang jawatan menteri pelajaran kerana kami fikir PH hanya tidak boleh pegang jawatan menteri kewangan,” kata pemimpin yang hadir dalam mesyuarat hari ini dengan syarat tidak dinamakan.

“Selepas semak kembali manifesto, jelas perdana menteri tidak patut pegang jawatan menteri lain. Kami akan bangkitkan kepada Tun.”

Dr Mahathir hari ini mengumumkan bakal memegang jawatan menteri pelajaran. Selain itu beliau turut mengumumkan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan turut memegang jawatan menteri hal wanita dan kebajikan masyarakat.

Dalam manifesto PH untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mereka berjanji tempoh jawatan perdana menteri akan dihadkan kepada dua penggal sahaja.

Selain itu PH berjanji perdana menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya jawatan menteri kewangan.

Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin yang turut hadir dalam mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini turut mengesahkan tiada bantahan apabila Dr Mahathir umumkan bakal ambil portfolio pelajaran.

“Kami terlepas pandang. Mungkin sebab semuanya berlaku dengan begitu pantas sejak Barisan Nasional ditewaskan minggu lalu.

“Kami akan bincang balik perkara ini dalam mesyuarat Majlis Presiden PH,” katanya. – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen