Buka Umno kepada bukan Melayu bukan penyelesaian, kata veteran parti


The Malaysian Insight

MEMBUKA keahlian Umno kepada bukan Melayu bukan jalan penyelesaian untuk parti orang Melayu itu bangkit semula selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRu14), kata veteran Umno.

Setiausaha Agung Veteran Umno Wilayah Persekutuan, Mustapha Ya’kub berkata Umno harus pertama sekali menerima kekalahan itu dan membina semula kekuatannya dari dalam, dan bukannya dengan membuka Umno kepada kaum lain.

Katanya, cadangan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin itu tidak relevan. tidak masuk akal dan tidak boleh dipakai.

“Saya tidak tahu apa maksud beliau nak perkuatkan Umno (dengan cara begitu). Ia tidak relevan.

“Apa yang perlu dilakukan ialah pembetulan dalaman, mengaku kekalahan terima dengan penuh tawaduk,” katanya kepada Malaysia Decides.

Dalam wawancara dengan Channel News Asia minggu ini, Khairy berkata Umno perlu distruktur semula untuk pulih kembali, termasuk membuka keahliannya kepada semua kaum, selepas kalah teruk dalam PRU14.

Dalam PRU14 lalu, Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno tumbang di peringkat persekutuan dan hanya bertahan di Perlis dan Pahang. Umno kini mempunyai 54 kerusi Parlimen dan 129 kerusi negeri.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata cadangan membuka keahlian Umno kepada kaum lain pernah disarankan oleh pengasasnya, Onn Jaafar. Namun idea itu, pada masa itupun, ditolak oleh ahli-ahli Umno, katanya.

“Sekarang Khairy cakap benda sama. Tapi kalau kita tengok parti yang wujud di negara kita semuanya berasaskan kaum. Umno Melayu, untuk Melayu, PAS Melayu, MCA Cina, DAP Cina, MIC India.

“Saya tak nampak cara dengan membuka keahlian Umno kepada bukan Melayu akan membantu, sebab berapa peratus sangat (orang bukan Melayu) yang akan masuk (Umno),” katanya.

Orang bukan Melayu yang masuk Umno itu nanti pun akhirnya akan rasa terpinggir dalam sebuah parti orang Melayu, sama seperti yang dirasai oleh orang Melayu dalam DAP, tambah beliau.

Menurut Mustapha, adalah tidak adil untuk menyalahkan Najib Razak seorang kerana sebagai pemimpin Pemuda, Khairy juga gagal untuk menarik pengundi muda menyokong Umno dan BN.

“Takkan beliau (Najib) seorang saja salah. Kalau kita tengok ketua Pemuda BN, beliau sedar tak berapa pengundi muda yang undi BN.

“Ertinya beliau gagal, sebab itu saya kata Pemuda BN tidak payah kata nak buka keahlian untuk bukan Melayu, betulkan dari dalam. Pemuda Umno kena buktikan mereka mampu tarik pengundi muda.”

Mustapha juga percaya orang muda menolak BN kerana mereka sudah hilang jati diri dan mengkritik program Transformasi Nasional 50 (TN50) sebagai membazir kerana tidak menterjemahkan sokongan kepada BN.– 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen