Polis cuba buka peti keselamatan berusia 20 tahun di kediaman Najib


The Malaysian Insight

POLIS sedang berusaha membuka peti keselamatan berusia 20 tahun di kediaman peribadi Najib Razak, kata peguam bekas perdana menteri itu, Harpal Singh Grewal.

Harpal berkata polis cuba membuka peti keselamatan itu sejak jam 8.30 pagi.

“Mereka menggerudi dan memotong (peti keselamatan) ... hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang ada dalam peti tersebut,” katanya kepada pemberita di luar kediaman Najib hari ini, sambil menambah yang kunci peti keselamatan itu hilang.

“Proses pengeledahan yang dijalankan di premis dan barang-barang yang disita setakat ini nampaknya tidak penting dan kehadiran pegawai polis di kediamannya mencetuskan gangguan yang tidak wajar,” katanya.

“Ini telah menyebabkan ahli keluarga Najib, kakitangan dan orang lain yang berada di rumah itu mengalami tekanan dan memberikan imej buruk kepada klien saya,” kata Harpal. 

Polis mula mengeledah rumah Najib sejak malam semalam. Peguam Najib memaklumkan perdana menteri itu disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau berkata Najib dan isterinya serta anak-anaknya masih berada di rumah berkenaan dan mereka tidak dikenakan tahanan rumah.

“Polis tidak menyoal siasat beliau, tidak langsung, polis hanya datang untuk mengeledah.

“Najib tidak dikenakan tahanan rumah.

“Rosmah dan anak-anaknya ada di rumah berkenaan, jadi semua masih seperti biasa.

“Tiada dokumen yang diambil, seperti yang saya kata tiada apa-apa yang diambil dari tempat lain (Pavilion KL),” katanya.

Beliau menambah proses menggeledah selama 18 jam itu menyebabkan Najib dan keluarganya kepenatan dan beliau akan menghantar gambar peti keselamatan yang terbuka kepada media selepas ia berjaya dibuka.

“Selepas apa yang berlaku 18 jam lepas, beliau hanya mahukan rehat.

“Proses pengeledahan sudah berakhir, kecuali peti keselamatan, jika ada apa-apa dalam peti keselamatan itu kami akan beri gambarnya nanti,” katanya. – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen