POLIS mengangkut lebih banyak kotak dari kediaman peribadi Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur petang ini, bagi meneruskan siasatan terhadap bekas perdana menteri itu.
Beberapa anggota polis yang berada di sini sejak pagi pergi dengan menaiki dua kereta diikuti oleh Black Maria yang sarat dengan kotak-kotak yang kelihatannya menuju ke balai polis Dang Wangi.
Kotak-kotak itu ditandakan Dang Wangi.
Selepas lebih 18 jam sejak serbuan polis, nampaknya ia tidak akan berakhir.
Dipercayai polis dari Jabatan Jenayah Komersial Bukit Aman masih berada di dalam rumah.
Peguam Najib juga masih berada di rumah dan awal hari ini, peguamnya, Harpal Singh Grewal memberitahu Malaysia Decides yang beliau sedang menubuhkan pasukan peguam.
Beliau berkata pasukan itu perlu bersedia untuk sebarang kes yang dibawa susulan tindakan intensif polis beberapa hari lalu.
“Saya menubuhkan satu pasukan. Mereka yang dipersetujui beliau akan mewakilinya. Sudah tentu akan ada beberapa peguam yang mungkin tidak mahu menyertai kami, “katanya kepada Malaysia Decides hari ini.
Harpal hadir ketika polis menyerbu kediaman Najib awal pagi ini.
Harpal berkata Najib sedang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram. – 17 Mei, 2018.
Komen