BARISAN Nasional (BN) tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan kerana tsunami Melayu tetapi kesungguhan seluruh rakyat Malaysia menolak parti yang memerintah sejak Merdeka itu, kata pemimpin DAP.
Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP, Ong Kian Ming berkata, satu-satunya negeri yang BN menang lebih daripada 50% undi popular ialah Sarawak, dengan 52.7% undi popular.
Menurutnya, keputusan PRU14 menunjukkan bagaimana rakyat bangkit apabila 65% daripada pengundi di seluruh negara tidak memberikan sokongan kepada BN.
“Hampir dua pertiga daripada pengundi dalam PRU14 menolak BN dan begitulah bersungguhnya mereka tidak lagi mahu BN memerintah di peringkat persekutuan mahupun negeri,” katanya dalam satu analisis keputusan pilihan raya umum minggu lalu.
Ong, yang juga ahli Parlimen Bangi, berkata, tidak seperti PRU 2013 yang menyaksikan sokongan pengundi Melayu terhadap BN meningkat sedikit berbanding PRU 2008, pilihan raya kali ini menunjukkan pengundi Melayu berduyun-duyun meninggalkan Bn.
“Malah kakitangan awam pun tidak mengundi BN,” kata Ong, merujuk kepada keputusan bagi Parlimen Putrajaya.
Tengku Adnan Tengku Mansor menang tetapi hanya mendapat 49.5% undi popular, berbanding 70% yang diperolehinya pada PRU 2013.
Ong juga merumuskan ada petunjuk kukuh pengundi polis dan tentera, yang selama ini dianggap sebagai penyokong BN, tidak mengundi parti pemerintah itu.
Beliau memberikan contoh bagaimana empat kerusi Parlimen dengan lebih 10,000 pengundi awal kebanyakannya polis dan tentera – Lembah Pantai, Setiawangsa, Tangga Batu dan Lumut – semuanya dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH).
“Tanpa jumlah siginifikan pengundi polis dan tentera yang menolak BN – sama ada mengundi PAS, PH atau merosakkan undi atau tidak mengundi, PH tidak akan mampu menang kerusi-kerusi ini,” katanya
Persempadanan semula yang menambah jumlah pengundi polis dan tentera di kawasan-kawasan berkenaan juga tidak memberikan manfaat kepada BN, tambah Ong.
PH menang di Lumut misalnya dengan kelebihan 400 undi ketika di kawasan itu ada 11,900 pengundi awal. Di Setiawangsa yang mempunyai 17,398 pengundi awal, PH menang dengan majoriti 14,372.
“Selebihnya, tsunami rakyat Malaysia tidak akan berlaku tanpa pengundi di Sabah dan Sarawak,” kata Ong.
PH yang bekerjasama dengan Warisan di Sabah menang 14 daripada 26 kerusi Parlimen serta 29 daripada 60 kerusi negeri, manakala pembangkang menang 12 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak termasuk kerusi pinggir luar bandar dan luar bandar seperti Mas Gasing, Puncak Borneo, Saratok dan Selangau.

“Dengan pengundi bandar dan luar bandar, Melayu dan bukan Melayu, Semenanjung dan Malaysia Timur, kakitangan awam, polis dan tentera yang semuanya menolak BN, sejarah tercipta dan buat kali pertama dalam masa 61 tahun, Malaysia ada kerajaan baru di persekutuan,” katanya.
Undi popular BN di seluruh negara menjunam sebanyak 12.8%, daripada 46.7% dalam PRU 2013 kepada 33.9% pada PRU 2018.
Ini adalah prestasi terburuk BN dalam sejarahnya, lebih buruk berbanding pencapaian 46.2% dalam PRU 1969 – yang sememangnya sudah sedia buruk – semasa gabungan politik itu dikenali dengan nama Perikatan.
PH meraih 48.3% undi popular, katanya.
Tetapi apabila diteliti dengan lebih mendalam, tambah Ong, gelombang anti BN ternampak di semua negeri dengan hampir semua negeri menunjukkan 10 hingga 20% peralihan sokongan kepada Pakatan Harapan dengan Kedah mencatatkan peralihan paling tinggi 19.8%.
Tiga negeri yang gagal dipertahankan oleh BN juga menunjukkan peralihan tinggi: Johor 16.1%, Melaka 14.8%, Negeri Sembilan 13.9% dan Sabah 12.7%. – 17 Mei, 2018.
Komen