MAJLIS Penasihat Kerajaan akan mengumumkan penstrukturan semula konsesi tol selewat-lewatnya minggu hadapan, kata salah seorang ahli jawatankuasanya Zeti Akhtar Aziz.
Pegawai kanan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan juga wakil pemegang konsesi tol memberikan taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan di Kuala Lumpur, hari ini.
Pemegang saham Lebuhraya Plus dan pegawai pengurusan UEM dan Lebuhraya Plus turut hadir dalam mesyuarat yang dipengerusikan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.
“Keputusan itu akan dibuat secepatnya kerana mereka (pemegang saham) akan memaklumkan semula kepada kami minggu depan,” kata Zeti kepada pemberita hari ini.
“Kami semua komited untuk menyediakan satu penyelesaian yang terbaik bagi kepentingan semua rakyat Malaysia yang mengharapkan keadaan akan berubah lebih baik. Kami harap kami akan dapat laksanakannya,” katanya yang juga bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).
Ketika ditemui pemberita, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Azman Mokhtar berkata perbincangan selama empat jam dengan ahli Majlis Penasihat Kerajaan, yang turut dihadiri bekas presiden dan CEO Petronas Hassan Marican dan pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram, itu berjalan dengan baik.
“Hari ini adalah mengenai pembentangan fakta dan langkah mula untuk melihat cara bagaimana untuk mengatasi isu tol,” katanya, sambil menambah yang sebarang keputusan rasmi akan dikeluarkan oleh majlis berkenaan beberapa hari lagi.
Azman berkata terdapat cara untuk mengimbangi kekurangan fiskal apabila ditanya sama ada beliau bimbang kemungkinan syarikat tersebut mengalami jurang pendapatan disebabkan oleh pembaharuan fiskal.
“Perkara bergerak sangat cepat, tapi masih awal, kami ada pelan 100 hari dan kami mengambil langkah mengikut landas itu,” katanya, sambil menambah yang Daim akan membuat pengumuman itu.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Shahril Ridza Ridzuan berkata langkah penghapusan tol tidak boleh dilakukan dalam masa 100 hari.
“Saya tidak fikir begitu. Saya fikir apa yang kita cari sebenarnya adalah penyelesaian holistik yang betul untuk lebuhraya bertol.
“Kami perlu sedar bahawa banyak wang telah dilaburkan melalui pasaran modal dan ada keperluan untuk mengimbanginya dalam keadaan ini,” katanya.
Ditanya sama ada pelaburan KWSP akan terjejas, Shahril menjawab: “Ia masih terlalu awal untuk dimaklumkan.” – 17 Mei, 2018.
Komen