Dr Mahathir sebagai menteri pelajaran beri harapan kepada pendidik, ibu bapa


The Malaysian Insight

DR Mahathir Mohamad memegang portfolio pendidikan memberi harapan kepada pendidik dan kumpulan induk yang berharap kebimbangan dan isu pendidikan akan ditangani dengan efisien.

Mengulas Dr Mahathir yang memegang portfolio pendidikan, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim berkata para pendidik bertegas yang kemerosotan pendidikan adalah kejatuhan negara.

“Jelas sekali kepercayaan dan visinya (Dr Mahathir) adalah untuk memaksimumkan piawaian pendidikan kita, dan menjadikannya berdaya saing di peringkat antarabangs.

“Kami yakin beliau akan mengemudi dasar yang baik dan bermanfaat kepada anak-anak dan rakyat Malaysia,” katanya kepada Malaysia Decides, sambil menambah walaupun Dr Mahathir berusia 93 tahun, beliau adalah seorang yang mempunyai wawasan.

“Beliau sangat berwawasan, malah orang yang berusia 20-an tidak mempunyai wawasan sepertinya.”

Dr Mahathir adalah menteri pendidikan pertama dari September 1974 hingga Disember 1977 di Kabinet perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein dan perdana menteri ketiga Hussein Onn.

Ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri pertama kali dari 1981 hingga 2003, sistem pendidikan mengalami pelbagai perubahan, seperti desentralisasi, peningkatan aksesibilitas, dan rombakan kurikulum untuk sekolah rendah dan menengah.

Pada 2003, beliau mengubah dasar bahasa semua sekolah kebangsaan untuk membolehkan Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris, berbanding Bahasa Malaysia.

Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ditentang oleh pelbagai kumpulan, terutamanya kumpulan Melayu, yang menyebabkannya dibatalkan pada 2012.

Azimah berharap Dr Mahathir akan meneliti semula dasar itu atau memperluaskan pilihan Program Dwi Bahasa sedia ada.

Beliau berkata terdapat kira-kira 1,500 daripada 10,000 sekolah di seluruh negara mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di bawah DLP.

“Sekolah yang memenuhi empat syarat utama - mempunyai sumber, kesediaan, sokongan ibu bapa dan pencapaian mencukupi dalam BM (Bahasa Melayu) - boleh melaksanakan program ini.

“Beberapa kelemahan untuk mengembangkannya ke lebih banyak sekolah adalah kerana ramai yang tidak mempunyai guru dan mereka tidak dapat memenuhi keperluan BM.

“Jika keperluan BM dibatalkan, sekolah boleh bergerak lebih cepat dan guru boleh dilatih. Pengajaran perisian juga dapat mengatasi kekurangan guru untuk program ini,” katanya.

Azimah mengimbas Dr Mahathir juga pernah bercakap mengenai penggunaan perisian pengajaran di sekolah sebelum beliau bersara pada 2003.

“Saya tidak tahu apa yang ingin diperkenalkannya sekarang tetapi menggunakan perisian mungkin lebih sesuai hari ini berbanding 15 tahun lalu. Pembelajaran dalam talian adalah biasa sekarang, tetapi mereka perlu meningkatkan akses Internet di sekolah.”

Bagi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), dengan adanya perdana menteri sebagai menteri pelajaran, ia menjadikan lebih mudah bagi kesatuan untuk membangkitkan kebimbangan guru dan berjuang untuk kebajikan yang lebih baik.

Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak berkata, dengan perdana menteri sebagai menteri pelajaran adalah “yang terbaik” untuk para guru, kerana kesatuan itu mempunyai peluang lebih baik bagi memperjuangkan soal gaji lebih baik dan kebajikan.

“Gaji okay buat masa sekarang tetapi kebajikan boleh diperbaiki untuk menangani kos hidup dan masalah perumahan,” katanya kepada Malaysia Decides.

Kamarozaman juga berharap dasar dan keputusan dibuat dengan cepat memandang perdana menteri mengawasi sektor pendidikan.

“Pada masa lalu, menteri terpaksa melalui saluran sepatutnya untuk mendapatkan kelulusan dan belanjawan. Jadi, keputusan tditangguhkan.”

Beliau juga berkata kurikulum di sekolah dan universiti perlu disemak semula untuk memastikan apa yang dipelajari pelajar adalah relevan untuk pasaran kerja bagi mengelakkan pengangguran di kalangan graduan.

“Kita perlu menyusun semula kurikulum. Guru dan pelajar terlalu banyak aktiviti. Mereka tidak boleh mengejarnya,” katanya. – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen