Pemimpin PKR mahu hak minyak Sarawak diluluskan di dewan negeri


The Malaysian Insight

LANGKAH Sarawak untuk mengambil alih sepenuhnya pemberian hak prospek, penerokaan dan perlombongan minyak di negeri ini harus dibentangkan, dibahaskan, dan diluluskan di dewan negeri bagi membolehkan kerajaan negeri menjalankan penguatkuasaan, kata See Chee How.

Naib pengerusi PKR negeri itu mengulas ucapan Abang Johari Openg semasa sesi penerangan Penglibatan Industri dengan Syarikat Minyak dan Gas di Sarawak di Kuching semalam, di mana Ketua Menteri itu berkata yang beliau sedang mengambil langkah mengikut Perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan.  

Di bawah penyelarasan peraturan, semua syarikat yang terlibat dalam pemberian hak prospek, penerokaan dan perlombongan minyak, dan pengagihan gas di Sarawak harus mematuhi undang-undang negeri, termasuk berkaitan penggunaan tanah.

Mereka harus mendapatkan lesen, permit, pemajakan dan kelulusan di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958, Ordinan Pengagihan Gas 2016 atau Kod Tanah Sarawak menjelang 1 Julai.

See, yang juga Adun Batu Lintang, berkata walaupun PKR negeri menyokong usaha kerajaan untuk mendapatkan semula hak Sarawak dalam pemberian hak prospek, penerokaan dan perlombongan minyak serta sumber lain di negeri itu, ia bagaimanapun “haruslah dijalankan mengikut perlembagaan dan proses perundangan.”

“Cadangan penyelarasan peraturan adalah satu pembaharuan yang baik. Ia mencadangkan supaya yuran lesen, sewa tanah dan pemberian royalti dikenakan terhadap setiap entiti industri minyak dan gas atau pemain yang terlibat dalam pemberian hak prospek, penerokaan dan perlombongan minyak.

“Pun begitu, beberapa persoalan tertentu masih tidak dijelaskan.”

Beliau berkata ia akan menyebabkan cadangan penyelarasan itu, yang mana akan memberi “impak kepada pemain industri”, diragui, sambil menambah yang ia akan menjadi tidak berkesan dan seterusnya tidak boleh dikuatkuasakan.

“Antara kecacatan yang penting dan jelas adalah kekangan perlembagaan dan undang-undang di bawah peruntukan Akta Laut Wilayah 2012 yang mana tidak dibangkitkan dan dijelaskan.”

See, yang merupakan seorang peguam, berkata pegawai panel dalam sesi penjelasan tersebut “secara sengaja” berkata cadangan penyelarasan itu tidak melibatkan perlembagaan dan kesahihan Akta Pembangunan Petroleum 1974, dan pemilikan sumber minyak dan gas di negeri itu, antaranya.

“Bagi menuntut hak wilayah dan menekankan kedaulatan kita terhadap pemberian hak prospek, penerokaan dan perlombongan minyak, masih terdapat persoalan asas dan berkaitan yang harus dijawab, dan pendirian kolektif hanya boleh dicapai melalui sidang dewan negeri.

“Masih ada masa untuk ketua menteri menasihati governor untuk mengadakan sesi dewan negeri sebelum Julai, bagi mempertimbangkan kuasa dan hak Sarawak di bawah Perkara 2 (c) Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.”   – 17 Mei, 2018.



 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen