PEMUDA Gerakan hari ini mengingatkan Pakatan Harapan (PH) tentang janji mereka yang perdana menteri tidak boleh memegang jawatan menteri lain.
Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang berkata, beliau hanya mahu memastikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak membuat kesilapan kerana terlepas pandang.
“Hai Tun M. Saya fikir janji PH adalah PM tidak akan memegang peranan di kementerian lain. Ini termasuk kementerian pelajaran.
“Saya hanya mahu memastikan Tun M tidak membuat kesilapan. Mungkin terlepas pandang. Masih boleh berpatah balik sekarang sebelum angkat sumpah sebagai menteri pelajaran pada Isnin,” tulis Tan di laman Twitternya.
Dr Mahathir hari ini mengumumkan beliau akan memegang portfolio menteri pelajaran dalam Kabinet baharunya.
Manakala timbalannya Dr Wan Azizah Wan Ismail pula akan diberikan portfolio menteri hal wanita dan kebajikan masyarakat.
Dr Mahathir hari ini berkata , beliau memutuskan untuk mengambil portfolio pendidikan kerana berpendapat masih “ramai individu tidak berpendidikan di negara ini” dan memerlukan perhatian.
Dr Mahathir, merupakan menteri pendidikan antara 1974 dan 1977, percaya kaedah pengajaran semasa sudah ketinggalan zaman.
“Hari ini, dengan komputer dan perkara-perkara lain, kita harus mencipta cara baru untuk mengajar,” katanya.
Sekiranya Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai menteri pelajaran pada Isnin depan, ia akan menjadi pelanggaran janji PH yang pertama dalam manifesto yang diumumkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14. – 17 Mei, 2018.
Komen