SEPASUKAN peguam sedang dikumpulkan untuk bekas perdana menteri Najib Razak susulan beberapa serbuan polis di kediaman peribadinya, pejabat dan pangsapuri, kata peguamnya hari ini.
Harpal Singh Grewal berkata pasukan itu perlu bersedia untuk kemungkinan sebarang kes dibawa daripada tindakan intensif polis dalam tempoh beberapa hari lalu.
“Saya sedang mengumpulkan satu pasukan. Individu yang diluluskan oleh beliau akan bertindak bagi pihaknya. Susah tentu akan ada sesetengah peguam yang tidak mahu menyertai kami,” katanya kepada Malaysia Decides hari ini.
Harpal turut berada di rumah Najib ketika polis menyerbu rumahnya di Taman Duta, Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Difahamkan polis sedang menyiasat Najib dan isterinya, Rosmah Mansor bagi beberapa kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram.
Polis mempunyai fail yang dibuka berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad dan SRC Berhad dari beberapa tahun lalu.
Polis merampas beberapa kotak barangan termasuk barangan kemas, kasut dan barangan peribadi lain dari banglo Najib, yang terletak di kawasan perumahan mewah berhampiran Istana Negara.
Harpal berkata beliau tidak tahu bila pihak berkuasa akan bertindak tetapi mereka sedang bersiap sedia.
Najib ialah perdana menteri Malaysia keenam dari April 2009 hingga 9 Mei apabila beliau dan Barisan Nasional ditewaskan menerusi pilihan raya umum.
Beliau terpalit dalam skandal 1MDB tetapi tetap menerima mandat rakyat kali pertama selepas menang PRU pada 2013.
Kekalahannya minggu lagu dikatakan berpunca daripada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan sebanyak 6% yang dikenakan kepada rakyat. Bermula 1 Jun ini, kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan cukai itu. – 17 Mei, 2018.
Komen