SARAWAK akan terus memperjuangkan supaya hak negeri dikembalikan dan royalti minyak yang lebih tinggi diberikan oleh kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH).
Menurut penganalisis politik yang juga ketua setiausaha politik menteri negeri, rundingan mengenai perkara itu akan lebih lancar bersama kerajaan PH berbanding Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Ketika Putrajaya di bawah penguasaan BN, kami harus minta secara lembut, kerana tidak mahu berlaku pertengkaran sesama rakan dalam gabungan,” kata Setiausaha Politik Menteri di Pejabat Ketua Menteri Abdullah Saidol kepada Malaysia Decides.
“Kami akan terus meminta secara baik daripada kerajaan Persekutuan PH, tetapi Ketua Menteri Abang Johari Openg semalam memberi isyarat yang permintaan secara baik ini pun ada tahapnya.”
Abang Johari, dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat, berkata Sarawak “bertekad untuk memastikan bahawa usaha kami untuk menurunkan kuasa kerajaan persekutuan dapat dicapai, dalam keadaan dan usaha yang lebih kuat”.
“Bahagian ‘dalam keadaan dan usaha yang lebih kuat’ ini bermaksud bahawa kita bersedia untuk membawa kes ini ke mahkamah jika rundingan gagal,” kata Abdullah.
Ahli majlis tertinggi PBB sendiri pada Sabtu, memberikan isyarat mengenai pendirian kerajaan negeri berhubung perkara itu.
Katanya kerajaan negeri “tidak ada berganjak walau selangkah pun daripada usaha untuk menurunkan kuasa kerajaan Persekutan terhadap kerajaan negeri, dan mendapatkan semula hak sah Sarawak”.
“Kami akan mempertimbangkan beberapa langkah untuk memastikan tuntutan kami dipandang secara serius, hormat.”
Sarawak bersiap sedia dengan beberapa langkah ekoran timbuk kebimbangan yang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengulangi sikap terdahulu semasa memerintah negara dengan enggan melayan sebarang rundingan mengenai pengiktirafan hak Sabah dan Sarawak.
Penganalisis Lee Kuok Tiung berkata rundingan itu akan lebih “mudah” sekarang kerana PH di bawah tekanan untuk melaksanakan janji pilihan rayanya.
“Rakyat Sabah dan Sarawak akan menghakimi apa yang kerajaan Persekutuan PH akan tawarkan kepada mereka,” kata pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah itu kepada Malaysia Decides.
“Mereka tidak boleh tawarkan kurang daripada apa yang (bekas perdana menteri) Najib Razak tawarkan kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Mereka harus beri lebih. PH memikul beban untuk menunaikan janji-janji mereka.”
Pengarah Asia Institute di University of Tasmania James Chin bersetuju dengan pandangan Lee, sambil berkata bahawa PH sebelum ini berjanji untuk mematuhi Perjanjian Malaysia 1963, termasuk menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyemak semula undang-undang Persekutuan yang telah menghakis hak Sarawak.
“Ia akan lebih mudah sekiranya (pengerusi PH negeri) Chong (Chieng Jen) dan (ketua PKR negeri) Baru (Bian) turut terlibat sama.” – 17 Mei, 2018.
Komen