Najib, Rosmah kelihatan 'sangat terganggu' ketika serbuan, kata peguam


The Malaysian Insight

NAJIB Razak dan isterinya Rosmah Mansor kelihatan “sangat terganggu” ketika polis menyerbu rumah mereka di Taman Duta malam tadi, menghabiskan hampir lapan jam sebelum membawa pergi tiga kotak berisi barangan yang disita, kata peguamnya Harpal Singh Grewal.

Harpal, yang hadir di kediaman itu berkata walaupun pihak polis bersikap profesional dan bersopan, Najib dan Rosmah kelihatan terganggu.

“Dua daripada anak mereka turut hadir,” kata Harpal kepada Malaysia Decides.

Beliau berkata kediaman peribadi Najib di Taman Duta dipenuhi kotak yang dipindahkan dari Seri Perdana (kediaman rasmi perdana menteri).

“Pihak yang membuat serbuan hanya membuka kotak secara rawak dan mengambil barang,” katanya.

Antara barangan yang disita polis ialah beg, pakaian dan barangan lain.

“Saya tidak tahu apa jenis beg. Kami terpaksa berdiri di luar bilik dan melihat polis melakukan kerja mereka,” kata Harpal sambil menambah polis mengambil banyak gambar seperti yang dijangkakan semasa serbuan itu.

Beliau tidak tahu apa yang diambil di kediaman lain yang dikaitkan dengan Najib yang diserbu polis malam tadi.

Rosmah dikatakan mempunyai kegemaran membeli beg mewah Birkin dan dikhabarkan mempunyai koleksi yang banyak.

Dilaporkan semalam polis menyerbu lima premis yang berkaitan dengan bekas perdana menteri.

Selain kediaman peribadi Najib di Taman Duta, polis turut menyerbu kediamannya di Seri Perdana, bekas pejabatnya di Putrajaya dan dua kondominium di Pavilion, Kuala Lumpur, dipercayai milik keluarganya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Persekutuan, Amar Singh berkata, serbuan itu sedang mencari bukti dalam siasatan yang berterusan, namun enggan menyatakan apa yang dicari.

Harpal juga mengatakan Najib sedang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, sambil menambah tiada tuduhan disebutkan.

Harpal menambah beliau sedang mengatur pasukan peguam untuk mewakili bekas perdana menteri itu.

“Saya mengumpulkan satu pasukan. Mereka yang dipersetujuinya akan mewakili beliau. Sudah tentu akan ada beberapa peguam yang mungkin tidak mahu menyertai kami,” katanya

Harpal berkata tiada petunjuk mengenai bila pihak berkuasa akan bertindak tetapi mereka sudah bersiap sedia. – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen