KERAJAAN menubuhkan “Task Force” untuk memberikan tumpuan kepada nasib masyarakat India, golongan muda, wanita dan orang asli, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Task Force itu akan diketuai olehnya bersama-sama Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
“Paling penting sekarang ialah memberikan perhatian kepada komuniti India,” kata Dr Mahathir pada satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Petaling Jaya hari ini.
Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar berkata dalam manifesto 100 hari PH, terdapat janji untuk melihat kepada nasib kaum India di Malaysia.
“Kami membuat keputusan perkara ini hanya dapat diselesaikan menggunakan mekanisme kerajaan dan sebab itu Dr Mahathir sendiri menjadi pengerusi Task Force.
“Bersama-sama untuk wanita, golongan muda dan orang asli. Kemudian perkara ini akan dikembangkan kepada kementerian-kementerian dan menteri lain,” kata ahli Parlimen Kuala Selangor itu apabila ditemui pemberita di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Dr Xavier berkata, antara janji PH dalam masa 100 hari ialah untuk menukar kad pengenalan merah kaum India yang layak kepada kad pengenalan biru.
“Ini perlu dilakukan dengan kementerian dalam negeri dalam masa 100 hari. Ini janji kita.
“Masalah kaum India menggunakan kad pengenalan merah agak serius. Saya tidak tahu angka sebenar. Mungkin 30,000, mungkin 300,000.
“Kerana tiada sesiapa yang pernah lakukan kajian terperinci,” katanya. – 17 Mei, 2018.
Komen