PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau percaya polis mempunyai “sebab kukuh” untuk menggeledah hartanah berkait dengan bekas pemimpin Najib Razak.
Polis menggeledah rumah Najib sepanjang malam sehingga awal pagi di lima hartanah dikaitkan dengan Najib termasuk rumah keluarganya di mana beliau tinggal.
“Saya percaya polis mempunyai sebab kukuh untuk geledah,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Petaling Jaya hari ini.
“Itu tugas polis. Saya tidak tahu. Kita akan siasat dan mengambil tindakan terhadap semua yang terlibat (dalam aktiviti jenayah).”
Polis masih lagi menggeledah rumah Najib di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Peguam Najib Harpal Singh Gerawal berkata, bekas perdana menteri disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diasaskan Najib disiasat polis di enam negara termasuk Amerika Syarikat.
Najib bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dalam skandal 1MDB.
Dr Mahathir berkata beliau tidak mahu polis “menyeksakan” mana-mana orang dan semua kes perlu disiasat mengikut undang-undang.
“Polis ada SOP mereka, saya tidak tahu mereka akan melakukan serbuan pada waktu malam, arahan saya sangat jelas.
“Saya tidak akan menyeksa orang dan melakukan perkara seperti itu, saya mahu mereka diperlakukan dengan sopan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai serbuan di rumah Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur yang menerima bidasan pelbagai pihak kerana waktu yang tidak sesuai.
Polis mula menggeledah rumah Najib kira-kira jam 10.15 malam semasa tiba dengan puluhan kereta dan sebuah trak Black Maria, yang sering digunakan untuk mengangkut tahanan. – 17 Mei, 2018.
Komen