KETUA Umum PKR Anwar Ibrahim dimasukkan ke dalam kumpulan pemimpin tertinggi “top 6” Pakatan Harapan (PH), kata Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi PH itu berkata kumpulan pemimpin tertinggi gabungan itu sebelum ini merupakan “top 5” tetapi dijadikan “top 6” selepas Anwar dibebaskan semalam.
Kumpulan pemimpin tertinggi “top 6” terdiri daripada Dr Mahathir sebagai pengerusi, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Anwar sebagai anggota baharu.
Anwar dipenjarakan pada 2015 selepas disabitkan bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Keluarga dan penyokongnya menganggap pemenjaraannya sebagai tidak adil.
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan PH menewaskan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menunaikan janjinya untuk membebaskan Anwar.
Semalam Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad ke V memberikan pengampunan penuh kepada Anwar tanpa mengenakan sebarang syarat. – 17 Mei, 2018.
Komen