Shukri Abdull ketua SPRM baharu


The Malaysian Insight

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan hari ini bekas timbalan ketua pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shukri Abdull hari ini dilantik sebagai ketua pesuruhjaya yang baharu.

Shukri dilantik mengantikan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad yang diarah melapor diri untuk kembali bertugas di Pejabat Peguam Negara, Selasa lalu.

Shukri membuat keputusan untuk bersara wajib pada dua tahun lalu berjumpa dengan Dr Mahathir yang baharu sahaja menjadi perdana menteri baru-baru ini.

“Shukri mempunyai pengalaman dan maklumat.

“Beliau menentang sebarang salah laku dan peranan Najib (Razak) dalam menghalang siasatan.

“Kita nak tahu apa yang berlaku secara terperinci,” kata perdana menteri pada satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Ditanya bilakah Shukri akan memulakan tugas secara rasmi, perdana menteri berkata, ia akan berkuat kuasa selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Shukri membuat keputusan untuk bersara wajib pada 2016 dan diingati kerana ucapan perpisahannya yang memberi kesan mendalam kepada orang ramai.

Semasa menyampaikan pesanan itu di Putrajaya, Shukri mengingatkan semua orang termasuk ahli politik, hakim dan pegawai-pegawainya akan dipertanggungjawabkan di akhirat.

“Nasihat saya kepada para hakim, jatuhkanlah hukuman seadil-adilnya kerana semua pihak - sesiapapun terlibat - satu hari nanti kita akan bertemu hakim yang Maha Adil yang akan menjatuhkan hukuman pada kita.

“Pada waktu itu, semua orang - termasuk saya - akan jadi saksi terhadap diri kita sendiri, (juga) menjadi peguam bela ke atas diri kita.

“Sesungguhnya hukuman itu akan menjadi hukuman yang paling adil berdasarkan apa yang kita lakukan di muka bumi,” katanya. – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen