Kabinet dijangka angkat sumpah Isnin, Dr Mahathir menteri pelajaran


The Malaysian Insight

KABINET Pakatan Harapan (PH) akan mengangkat sumpah Isnin ini sekiranya mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir juga mengumumkan beliau akan memegang portfolio pelajaran dalam sebuah kementerian yang turut menggabungkan portfolio pendidikan tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail pula memegang portfolio wanita dan kebajikan.

Majlis angkat sumpah Kabinet Isnin ini akan melibatkan menteri-menteri yang memegang portfolio 13 kementerian manakala baki lapan menteri lagi akan diumumkan kemudian, tambah Dr Mahathir dan ia tidak akan dibuat berdasarkan kekuatan parti masing-masing.

“Sesetengah parti akan mempunyai lebih banyak wakil berbanding yang lain,” katanya, sambil menambah kerajaan tidak akan mempraktikkan nepotisme.

Dr Mahathir berkata calon untuk jawatan menteri akan dipertimbangkan berdasarkan merit masing-masing.

Beliau juga berkata kerajaan PH akan menurunkan Kabinet kepada 25 menteri dan timbalan menteri.

“Sekiranya terdapat keperluan pada masa depan, kami akan meningkatkan jumlah ahli Kabinet,” katanya.

Dr Mahathir yang mengangkat sumpah minggu lalu pada Sabtu lepas mengumumkan tiga anggota Kabinetnya: Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri dan Mohammad Sabu sebagai menteri pertahanan. – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen