KETIADAAN wakil Bersatu dan Amanah dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedikit sebanyak menimbulkan reaksi negatif dalam kalangan penyokong dan pemimpin kedua-dua parti gabungan Pakatan Harapan (PH) itu.
Namun kebanyakan mereka menganggap ia terlalu sensitif untuk dibincangkan secara terbuka dan cuba menanggapinya dari sisi pandang positif, walaupun keadaan sama tidak berlaku di negeri lain.
Pengerusi Amanah Pulau Pinang Dr Mujahid Yusof berkata beliau sedar perkara ini bakal menimbulkan konflik di peringkat bawah dan telah menyuarakannya dalam mesyuarat mereka.
“Saya suarakan perkara ini dalam mesyuarat di peringkat negeri. Hujah saya berikan bagi pihak Amanah adalah kedua-dua calon kita yang menang mendapat majoriti besar.
“Kita berjaya rampas kerusi itu daripada PAS dan Umno,” kata Mujahid kepada Malaysia Decides.
Amanah menang dua daripada tiga kerusi negeri yang ditandinginya iaitu Permatang Pasir dan Bayan Lepas, kalah di Sungai Dua.
Di Permatang Pasir, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil mengalahkan calon PAS dan Umno dengan majoriti 2,981 manakala di Bayan Lepas, Naib Ketua Pemuda Amanah negeri, Azrul Mahathir Aziz menang dengan majoriti 5,245.
Semalam, 10 exco kerajaan negeri Pulau Pinang mengangkat sumpah dengan tujuh daripadanya wakil rakyat DAP manakala tiga lagi dari PKR.
Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu, Chow Kon Yeow berkata wakil rakyat dari Amanah dan Bersatu tidak dilantik ke dalam barisan exco negeri untuk mengekalkan kestabilan politik bagi membolehkan PH mengotakan janji untuk lima tahun akan datang.
Bagaimanapun, ia menimbulkan persepsi lain dalam kalangan penyokong Amanah.
“Macam negeri DAP dan PKR saja, bukan negeri PH. Kenapa di Kedah, walaupun DAP menang dua saja, dapat kerusi exco,” kata seorang penyokong Amanah apabila melihat senarai exco tersebut.
PH yang mengambil alih pentadbiran Kedah bersetuju mengagihkan jawatan exco dengan lantikan empat daripada PKR, tiga dari Amanah, dua dari Bersatu dan seorang dari DAP.
Pada PRU14 lalu, PKR menang paling banyak kerusi berbanding komponen PH yang lain. PKR menang tujuh daripada 18 kerusi yang dimenangi oleh PH manakala Bersatu menang lima, Amanah empat dan DAP dua.
Di Pulau Pinang, DAP menang 19, PKR 14 sementara Amanah dan Bersatu masing-masing dua kerusi.
Dalam pada itu, Adun Bersatu dari Teluk Bahang Zolkifly Md Lazim melihat positif keputusan pengagihan jawatan exco dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.
“Ada berpuluh-puluh lagi jawatan penting dalam Pulau Pinang ini. Jadi kami boleh berperanan di situ walaupun tidak dilantik sebagai exco,” katanya.
Sementara itu, Faiz enggan memberikan sebarang komen.
“Kena tanya pemimpinlah, saya tidak tahu apa-apa,” katanya. – 17 Mei, 2018.
Komen