Rundingan batal jika Musa enggan bubar Umno di Sabah


The Malaysian Insight

RANCANGAN penubuhan Gabungan Bersatu mungkin dibatalkan jika Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Musa Aman Enggan menghormati syaratnya, kata Dr Jeffrey Kitingan.

Presiden Star Sabah itu berkata antara syarat yang ditetapkan ialah membubarkan Umno di Sabah.

“Apa yang saya tahu, BN Sabah sudah pun bersetuju. Saya mahu Gabungan Bersatu menjadi kenyataan. Jika tidak, saya perlu batalkan keputusan saya.

“Jika BN Sabah tidak buat apa yang mereka kata, saya tidak ada alasan lagi dan situasi baharu ini memerlukan keputusan baharu,” katanya.

Ahli BN juga berminat dengan pembentukan Gabungan Bersatu tetapi ramai juga percaya Musa tidak akan membiarkan Umno hilang di Sabah.

“Masalah dengan parti nasional di Sabah ialah semua keputusan memerlukan pemimpin tempatan merujuk kepada pemimpin tertinggi mereka di semenanjung Malaysia,” katanya.

Idea menubuhkan Gabungan Bersatu ialah sebahagian rundingan oleh Musa dengan Kitingan bagi membolehkan BN memperoleh kemenangan dalam PRU14 dengan dua kerusi Star Sabah iaitu Bingkor dan Tambunan.

BN atau Warisan-Pakatan Harapan (PH) tidak dapat kemenangan majoriti mudah pada PRU lalu apabila kedua-dua blok terikat dengan 29 kerusi, menjadikan Star Sabah kingmaker dan Kitingan memilih untuk menyebelahi BN.

Gabungan Bersatu akan menjadi pengganti kepada BN dan akan berdasarkan kepada penyatuan Star Sabah dan PBS Plus.

Penubuhan PBS Plus akan membabitkan Musa dan ahli Umno lain selain PBRS dan Upko yang masih setia bersama BN dan menyertai PBS sebagai ahli.

Gabungan Sabah yang ditubuhkan oleh Kitingan sebelum ini terdiri daripada SAPP, Parti Harapan Rakyat Sabah dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah juga akan menjadi sebahagian daripada entiti baharu itu.

Musa dijangka kembali ke Kota Kinabalu hari ini selepas menghadiri mesyuarat Umno di Kuala Lumpur dan dijangka memfailkan injunksi untuk mendakwa beliau ketua menteri Sabah yang sah di mahkamah Kota Kinabalu, esok.

Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei tetapi hilang majoriti apabila ada pembelot menyertai Warisan. – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen