BAGI rakyat Malaysia yang masih tidak percaya bahawa Najib Razak akan didakwa dan dipenjarakan, cara serbuan polis di rumah bekas perdana menteri itu malam tadi akan dapat menghakis sendiri pandangan skeptikal mereka.
Sepasukan pegawai polis tuba di banglo di Jalan Duta, Kuala Lumpur selepas 10 malam dan berada di situ selama lapan jam, menggeledah setiap ceruk rumah itu. Almari dan laci mengandungi barangan dan pakaian peribadi, diperiksa.
Tiada kawasan di rumah itu yang terlepas daripada pemeriksaan polis dalam siasatan berkaitan skandal 1MDB.
Najib yang hanya baru seminggu lalu berhubung rapat depan Ketua Polis Negara Fuzi Harun dan keseluruhan Pasukan Polis Diraja Malaysia kini tahulah bagaimana rasa kehidupannya dalam tempoh beberapa hari lagi sebelum pertuduhan dikenakan padanya di bawah Akta Pengubahan Wang Haram.
Kenapa akta itu? Kerana ia cukup luas untuk meliputi pelbagai kesalahan termasuk wang mencurigakan yang dimasukkan ke akaun bank.
Polis masih menghormati bekas pemimpin itu ketika mereka menjalankan pemeriksaan tetapi tiada keistimewaan khas diberikan kepada Najib atau Rosmah Mansor ketika serbuan dibuat sehingga subuh tadi.
Pegawai polis meninggalkan rumah itu selepas jam 5.30 pagi, tidak lama sebelum waktu sahur berakhir pada hari pertama Ramadan, hari ini.
Selama ini, tidak pernah ada bekas perdana menteri yang dimalukan sedemikian apabila trak Black Maria berselirat di depan rumahnya – kenderaan yang memberi isyarat bahawa polis serius bertindak – dan penggeledahan sistematik dilakukan terhadap barangan peribadinya.
Najib kini berdepan situasi yang benar-benar sukar.
Beliau sedang berdepan pentadbiran kerajaan baharu yang ingin memastikan kedaulatan undang-undang sebagai asas terhadap perubahan institusinya.
Beliau sedang berdepan dengan rakyat yang mahu beliau dihukum dan beliau juga berdepan dengan perdana menteri yang faham bahawa berkeras terhadap Najib adalah tindakan popular dalam kalangan masyarakat dan menjadikan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad lebih banyak masa untuk memenuhi semua janji pilihan raya.
Dr Mahathir setakat ini menolak permintaan untuk berhubung dengan mana-mana individu yang mahu berunding tentang penyelesaian secara baik dengan Najib. Ada antara permintaan itu dibuat oleh individu yang memang dihormati oleh Dr Mahathir tetapi jawapannya tetap sama: tiada rundingan.
Beberapa rakan Najib masih cuba menggunakan laluan belakang dengan kerajaan luar negara, berharap akan ada pemimpin asing yang boleh menjadi pengantara dengan Dr Mahathir untuk membolehkan Najib meninggalkan Malaysia.
Tetapi sebarang permintaan untuk diberikan kelonggaran, akan hanya menerima jawapan tegas Dr Mahathir iaitu “Tidak”.
Penggeledahan polis selama lapan jam di rumah bekas perdana menteri itu menjadi isyarat kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia bahawa Najib tidak akan diberikan rundingan istimewa. – 17 Mei, 2018.
Komen