Raikan Pakatan menang, Anwar tayang tarikan Islamiknya


The Malaysian Insight

ANWAR Ibrahim tak ambil masa lama untuk mengukuhkan sokongan kepada kerajaan pemerintah Pakatan Harapan malam tadi, menayangkan tarikan Islamiknya termasuklah memetik ayat Al-Quran dan sokongan antarabangsa terhadapnya.

Pada perarakan di Petaling Jaya untuk menyambut pengampunan diraja membebaskannya, ketua umum PKR itu memberitahu ribuan penyokongnya yang beliau menerima dua panggilan daripada dua tokoh utama dunia Islam- ulama terkenal Sheikh Yusuf Al-Qardawi dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan- selepas dibebaskan semalam.

Tarikan dan kelayakan Islamiknya ini akan jadi sangat berguna untuk kerajaan PH dalam usaha mereka mengubah badan eksekutif dan perundangan bagi berdepan pembangkang utama- bekas pemerintah Barisan Nasional (BN) dan parti Islam, PAS.

Beliau juga memainkan peranan serupa apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berjaya memujuknya menyertai Umno pada 1982 dan bertanding dalam pilihan raya umum tahun itu. Anwar ketika itu adalah pemimpin kumpulan belia Islam, Abim dan kemasukannya ke dalam Umno dilihat banyak pihak sebagai kejayaan Umno dalam persaingan dengan PAS yang juga berusaha memujuknya masuk ke dalam parti Islam itu.

Dr Mahathir memecat Anwar pada 1998 ketika Krisis Kewangan Asia berlaku, menuduhnya atas dakwaan liwat dan salah guna kuasa. Anwar dibebaskan tidak lama kemudian dan berkempen dalam Pilihan Raya Umum 2008 bersama-sama PAS dan DAP yang hampir menewaskan BN, menafikan majoriti dua pertiga Parlimen parti pemerintah itu.

Plot kisah tiba-tiba berubah, apabila Dr Mahathir dan Anwar kembali berbaik dua tahun lepas ketika Anwar menjalani hukuman penjara untuk kesalahan liwat kali kedua yang didakwanya jerat musuh politiknya.

Ketika Anwar masih dalam penjara, Dr Mahathir dan bekas musuh politiknya bersatu untuk menyingkirkan BN dalam pilihan raya bersejarah 9 Mei minggu lepas.

Yang di-Pertuan Agong memperkenan pengampunan diraja semalam, di ambang bulan suci umat Islam, Ramadan.

Anwar mengakui keistimewaan tarikh bebasnya, mengatakan kerajaan baru tugasnya adalah berkhidmat untuk rakyat dan perlu terus jadi jujur dan bertanggungjawab.

“Mandat adalah tanggungjawab, bukan keistimewaan,” katanya, menambah yang rakyat perlu “mengecam” menteri yang tak buat kerja dalam kerajaan baru ini, kecuali Dr Mahathir, jenaka yang disambut ramai hadirin semalam.

Beliau juga meluahkan sokongan kepada sekutunya, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang kini jadi menteri kewangan dalam kerajaan baru, mengulang pendirian partinya, PKR, yang menyokong pelantikan itu tetapi perbincangan lanjut perlu diteruskan.

“Bukan mudah jadi menteri kewangan. Ada singa, beruang, gajah dan ular akan datang. Berhati-hati Guan Eng.”

“Tetapi itulah sebabnya kenapa kita letakkan dia (Lim) di sana. Dia pastikan semua kontrak di Pulau Pinang dibuat secara tender terbuka,” tambahnya. – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen