SELEPAS lapan jam, polis yang menggeledah kediaman Najib Razak di Taman Duta, Kuala Lumpur merampas kira-kira tiga kotak barangan peribadi termasuk beg tangan dan pakaian.
Pada 5.15 pagi, polis masih berada di premis itu.
Peguam Najib, Harpal Singh Grewal berkata bekas perdana menteri itu sedang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan. Wang Haram, Pencegahan. Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
“Tiada tuduhan yang disebut. Hanya penyiasatan. Pencarian ini dijalankan di bawah akta pengubahan wang haram,” katanya ketika ditemui di luar rumah Najib.
Harpal mengesahkan polis turut menggeledah di hartanah milik Najib yang lain.
“Tetapi mereka tidak menemui apa-apa bukti yang mengaitkannya dengan jenayah di semua premis ini,” katanya.
Beliau berkata polis tidak menemui sebarang dokumen untuk mengaitkan Najib atau isterinya, Rosmah Mansor tetapi merampas beberapa beg tangan, pakaian dan hadiah. Pencarian itu mengambil masa sepanjang malam kerana rumah itu besar dan polis menggeledah setiap bilik.
Najib dan keluarganya tidak akan ditahan atau disoal siasat lanjut buat masa sekarang.
“Kami tidak dimaklumkan tentang itu. Bukan hari ini. Kami tidak menerima makluman bahawa mereka akan berbuat demikian,” kata Harpal.
Sumber berkata lima premis yang ada kaitan dengan Najib diserbu malam tadi. Mereka berkata polis membuat pemeriksaan di bekas kediaman rasminya di Seri Perdana, kediaman persendirian di Taman Duta, dua kondominium di Pavillion KL yang dipercayai milik keluarganya dan pejabat lamanya di Putrajaya.
Peguam Najib berada di rumah di Taman Duta, di mana mereka tiba sejurus selepas kedatangan polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Amar Singh berkata kedatangan polis itu untuk mencari bukti dalam satu siasatan yang sedang dijalankan, tetapi enggan memberitahu apa yang mereka cari. – 17 Mei, 2018.
Komen