Dr Mahathir sedang bawa Malaysia balik ke zaman sebelum PM ke-4


The Malaysian Insight

DUA orang yang selama ini mempercayai dan membela zaman perdana menteri penuh kuasa sekarang bekerja tanpa henti bagi memastikan perdana menteri Malaysia seterusnya tidak lagi mampu buat apa sahaja yang dia suka.

Susah nak percaya, tetapi, Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin sekarang banyak bercakap tentang reformasi institusi sejak Pakatan Harapan mengalahkan Barisan Nasional 9 Mei lepas.

Cakap mudahnya, kerajaan baru mahu mengukuhkan mekanisme semak imbang terhadap perdana menteri. Dr Mahathir dan Daim percaya Malaysia berada di ambang kehancuran kerana terlalu banyak kuasa diamanahkan kepada seorang sahaja - Najib Razak.

Jadi dalam beberapa minggu dan bulan mendatang, rakyat Malaysia boleh mengharapkan sistem pelantikan hakim dan kepala agensi kerajaan berubah bagi memastikan seseorang tidak mempunyai pengaruh tidak terbatas dalam pelantikan pegawai tinggi.

Wujud juga kemungkinan yang agensi keselamatan utama seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjawab terus kepada Parlimen.

Pentadbiran baru Dr Mahathir juga dilihat akan memastikan pengasingan kuasa antara badan eksekutif, kehakiman dan perundangan.

Kerajaan juga mungkin akan memperkenalkan had dua penggal seorang perdana menteri.

Adakah Dr Mahathir bersungguh-sungguh? Atau adakah ini hanyalah cakap kosong selari dengan persekitaran negara dan rakyat yang masih meraikan penyingkirkan Barisan Nasional?

Mereka yang kenal Dr Mahathir dan Daim faham kesinisan ini.

Lagipun, sepanjang dua dekad Dr Mahathir memerintah sebelum ini, beliaulah orang yang jarang hormat kepada undang-undang, kebebasan kehakiman atau kebebasan media. Beliau adalah orang yang tak sabar dan selalu menganggap penentangan dan proses sebagai penghalangnya merealisaskan visi agungnya membangunkan Malaysia.

Zaman pentadbiran Dr Mahathir sebelum ini dikenali dengan zaman perdana menteri ada semua kuasa. Beliau buat apa sahaja tanpa mengambil kira pandangan awam. Tulang belakang ekonominya ketika menjadi perdana menteri ialah Daim.

Kedua-duanya tak peduli tentang masyarakat sivil. Kedua-duanya jarang ambil kisah tentang aktivis hak asasi atau Majlis Peguam atau aktivis yang sentiasa muncul menghalang.

Bagaimana pula dengan pakar undang-undang perlembagaan?  

Mereka juga jarang digunakan semasa pentadbiran lama Dr Mahathir.

Tetapi, apabila berkuasa untuk kali kedua, Dr Mahathir mengupah bekas presiden Majlis Peguam, bekas hakim Mahkamah Rayuan, pesuruhjaya hak asasi, pakar undang-undang perlembagaan dan presiden NGO untuk membantu usahanya mereformasi institusi.

Mereka yang dilantik bukan calang-calang. Dan mereka sudah mula bekerja apabila Ambiga Sreenevasan mengatakan Jawatankuasa Reformasi Institusi akan membentangkan cadangan kepada Dr Mahathir dalam tempoh 60 hari untuk menambah baik dan mengubah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tetapi, usaha mereka melampaui soal agensi tertentu, matlamat jawatankuasa adalah untuk memastikan setiap institusi di Malaysia kekal bebas, walau siapapun yang junjung kuasa.

Beliau dan ahli jawatankuasa yang lain sekarang bekerja sepantas kilat kerana Dr Mahathir dan Daim juga bekerja begitu.

Perdana menteri dan Majlis Penasihat Kerajaan percaya mereka hanya memerlukan dua tahun untuk meletakkan Malaysia kembali pada landasan yang betul.

Mereka yang rapat dengan Dr Mahathir dan Daim mengatakan kedua-duanya masih mampu bekerja 12 jam sehari dan kedua-duanya pembaca tegar. Tetapi, kini mereka sendiri nampaknya menyedari mereka tak punya banyak masa.

Dr Mahathir walaupun masih sihat pada usia 93 tahun masih seorang yang berusia 93 tahun, dan tiada siapapun yang berdaya melawan jerih tua selama-lamanya.  

Daim berusia 80 tahun tetapi menderita penyakit buah pinggang.

Mereka sudah kucup kuasa sebelum ini dan kini tidak ada apa lagi yang mereka mahukan.

Mereka tak akan akui secara terbuka tetapi kali ini adalah soal membetulkan kembali kesilapan yang mereka pencak kepada Malaysia seterusnya menghapuskan sistem perdana menteri tahu semua yang satu ketika dahulu mereka bela tanpa ragu.

Masanya untuk ubah kekesalan jadi keriaan.

Jika mereka berjaya, institusi Malaysia akan kembali kepada landasan asal sebelum zaman perintah Dr Mahathir 1981-2003. – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen