RAMAI orang masih tidak percaya apabila diberitahu yang Cukai Barangan dan Sederhana (GST) ditetapkan pada kadar sifar bermula 1 Jun nanti.
Mereka menyangka ia adalah jenaka serupa dengan kenyataan palsu Kementerian Kewangan mendakwa GST akan dihapuskan yang tular Isnin lalu.
Tetapi, apabila menyedari ia benar, mereka terkejut kerana kerajaan Pakatan Harapan boleh bertindak secepat itu.
Sekarang, mereka mahu lihat harga barangan dan perkhidmatan turun secepat mungkin.
Cukai kepenggunaan itu diperkenalkan oleh Barisan Nasional (BN) pada 1 April 2015, dan dipersalahkan kerana menjadi punca peningkatan kos sara hidup negara ini.
Semalam, Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan mengumumkan GST akan ditetapkan kadar sifar bermula 1 Jun, meliputi semua barangan dan perkhidmatan yang dibuat dalam negara mahupun luar negara.
Perintah itu berkuatkuasa di seluruh negara dan semua perniagaan perlu mematuhi arahan itu dan memastikan harga barangan dan perkhidmatan mereka selari dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Penghapusan GST adalah janji pilihan raya PH kepada rakyat. Cukai itu akan dihapuskan dalam tempoh 100 hari selepas PH menakluk Putrajaya.
Malaysia Decides bertanyakan kepada rakyat Malaysia tentang GST 0%:
1) Penjual nasi lemak, R. Kalaivanan, 42:
Betul ke? Saya tak jangka mereka akan hapuskan GST secepat ini. Saya sangat terkejut yang PH sangat cekap, tetapi mengapa 0% dan kenapa tak hapuskannya terus?
Saya gembira yang PH ingat janji mereka, saya hanya harap peniaga akan turunkan harga. Sekarang, semua benda mahal.
Walaupun beras dikecualikan GST, saya perasan yang ia lebih mahal berbanding dahulu.
Mungkin sepenuhnya bukan kerana GST, tetapi ia antara punca. Hapuskan 6% cukai akan banyak bantu perniagaan dan keluarga saya. Saya ada dua anak, tingkatan 3 dan 4.
Jujurnya, saya dah jadi biasa bayar GST sekarang. Sebagai peniaga kecil, saya tak banyak terjejas. Tetapi, dalam jangka masa panjang, sudah tentu beri kesan.
2) Penjual dim Sum Cheong Chee Keat, 38:
Berita baik yang mereka hapuskan GST. Sudah sampai masa mereka hapuskan. Ia beri kesan kepada semua orang.
Tetapi adakah kadar sifar bermakna kerajaan boleh naikkan cukai kemudian? Saya harap tak.
Saya undi Pakatan (PH), dengan harapan mereka akan jadikan hidup saya, kerja untuk buat duit lebih mudah. Nilai matawang kita makin naik, dan untuk mereka letak GST pada kadar sifar secepat ini adalah petanda baik.
Saya harap selepas ini, saya akan dapat lebih ramai pelanggan. Bila barang murah, kuasa beli orang lebih tinggi. Orang berniaga pun lebih laku.
3) Akauntan sambilan dan jurujual, Lee Pui Ian, 27:
Wow. Betul ke? Tanpa GST, hidup saya akan jadi lebih mudah terutama bila saya jual barang saya. Saya juga jual telefon secara sambilan.
Akaun saya pun mudah nak jaga. Jadi, bagus sekali. Ibu bapa saya akan gembira bila mereka dengar ini.
4) Guru Aziah Azlan, 41, Pulau Pinang:
Saya baru nampak berita ini di Facebook. Saya sokong sepenuhnya. Ia akan bantu kurangkan beban kewangan kebanyakan keluarga di negara ini.
Kita tak boleh nafi yang harga hampir semua benda naik sejak GST dilaksanakan. Kita semua kena bayar lebih berbanding apa yang kita biasa bayar.
Barangan runcit jadi lebih mahal. Malah guna ATM pun kena GST. Tak adil bila gaji tak berubah.
GST adalah cukai yang hanya tambah beban rakyat.
5) Peniaga Azmadi Salim, 26, Pulau Pinang:
Betul ke mereka hapuskan GST secepat ini? Yang saya tahu kerajaan baru masih berusaha…semuanya dalam proses.
Tetapi selagi mana mereka hapuskan, ia sangat baik. Kita semua nampak harga naik sejak GST dilaksanakan.
Orang terkesan. Saya sangat gembira dengar ini.
6) Penjual beg Tan Eng Khoon, 43, Pulau Pinang:
Betul ke mula 1 Jun? Bukan mereka kata berita palsu?
Apapun, saya gembira dengar yang GST kadar sifar secepat ini. Jadi ubah kerajaan memang berbaloi. Kita patutnya tukar kerajaan lama dahulu.
Saya peniaga kecil. Saya tak caj GST. Tetapi bila saya beli barang daripada pembekal, saya terpaksa bayar GST. Tambah beban kewangan saya.
Jadi bila semua orang naikkan harga mereka, saya juga terpaksa naikkan harga sedikit. Ia tak bantu perniagaan sebab semua orang mengadu tentang kos sara hidup.
Jadi tanpa GST, saya harap harga akan turun. Sekarang saya menyesal tambah stok barang awal sangat. Jika saya tahu awal, saya akan tunggu lepas 1 Jun untuk pesan barang baru. – 17 Mei, 2018.
Komen