Isteri pastor hilang rayu kerajaan Pakatan siasat


The Malaysian Insight

ISTERI Pastor Raymond Koh merayu kerajaan Pakatan Harapan untuk menyemak semula siasat kehilangan suaminya.

Susanna Liew yang tidak putus asa mencari jawapan sejak Februari tahun lepas membuat permintaan itu selepas sumber maklumat polis mendakwa polis sendiri terlibat dalam penculikan itu.

Norhayati Ariffin, isteri aktivis Amri Che Mat yang juga hilang mendakwa seorang pemberi maklumat polis memberitahunya yang penculikan Koh dan Amri dilakukan oleh pegawai polis Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Liew kini berharap yang PH dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddn Yassin akan memberi tumpuan kepada kehilangan Koh, Amri, Pastor Joshua Hilmi dan isteri, Ruth yang meraih perhatian media antarabangsa dan tempatan itu.

“Kami sudah mengesyaki ada penglibatan polis kerana kami tak dapat jawapan dan perkembangan terkini. Kerana itulah kami bawa perkara ini kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam),” kata Liew.

Norhayati membuat laporan polis pada Selasa mendakwa pegawai Cawangan Khas (SB) melawat rumahnya di Kangar, Perlis pada Sabtu lepas dengan maklumat yang wujud penglibatan SB Bukit Aman dalam penculikan Koh dan Amri.

Liew juga mengatakan berdasarkan rakaman CCTV penculikan suaminya, polis dipercayai terlibat.

“Daripada rakaman ia jelas yang ia memang kerja Cawangan Khas. Jadi apabila ada orang (pemberi maklumat) datang, ia mengesahkan syak wasangka kami.”

Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lepas oleh 15 orang lelaki yang menaiki tiga kenderaan.

Penculikan itu berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) dan disifatkan dilakukan dengan teliti dan profesional.

Liew juga mendakwa yang polis tidak banyak memberikan kerjasama dalam siasatan Suhakam.

“Mereka sama ada jawab ‘tak ingat’ atau ‘tak boleh beri bukti tanpa kelulusan Jabatan Peguam Negara’ (ketika siasatan awam).

“Mereka buat pelbagai alasan untuk halang kebenaran.”

Panel Suhakam ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan empat aktivis itu dan menentukan sama ada wujud campur tangan pihak berkuasa negara dan boleh dikategorikan sebagai kehilangan paksa. – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen