Menteri Pertahanan Mat Sabu tak kisah gurauan rakyat


The Malaysian Insight

MENTERI Pertahanan baharu, Mohamad Sabu tidak mengambil hati dengan tindakan pelbagai pihak membuat membuat pelbagai gurauan selepas beliau dilantik ke jawatan itu.

“Saya tidak ada apa-apa. Saya anggap itu sebagai peminat-peminat saya yang cuba mahu gambarkan apa yang perlu saya buat.

“Jadi saya tidak ada perasaan marah apa-apa. Cuma jangan berunsur fitnah sahaja, unsur gurauan itu, saya tidak ada  masalah,” kata Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam wawancara khas dengan Malaysia Decide di sebuah restoran, tempat beliau selalu berjumpa kawan-kawannya.

Selepas dinamakan sebagai menteri pertahanan, presiden Amanah itu digambarkan sebagai “Rambo” watak hero filem perang Amerika dan pelbagai lagi jenaka menyentuh pemimpin yang memang dikenali sebagai ramai sebagai individu yang mahir membuatkan ramai orang ketawa itu. 

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad telah menamakan Mohamad sebagai menteri pertahanan kabinet beliau.

Turut dinamakan adalah Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan dan Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri manakala Dr Wan Azizah Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

Mohamad sendiri terkejut dengan perlantikan sebagai menteri di kementerian yang mendapat peruntukan paling banyak kerajaan itu.

“Saya diperkatakan sebagai Menteri Dalam Negeri. Bahkan body language Tun Mahathir juga macam mahu saya menjaga KDN.

“Tetapi apabila beliau namakan saya sebagai Menteri Pertahanan saya terima,” kata Mohamad yang mendapat pendidikan di Institut Teknologi MARA (ITM) dalam bidang Teknologi Makanan itu.

Mohamad bersama Ibrahim Ali serta beberapa yang lain telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika beliau menjadi aktivis pelajar di ITM dahulu.

Turut ditahan sama ketika itu adalah Anwar Ibrahim dari Universiti Malaya.

Dalam Operasi Lalang 1987 sekali lagi Mohamad ditahan selama dua tahun di bawah ISA oleh pentadbiran kerajaan pimpinan Mahathir sendiri.

Ketika ditanya apakah yang akan dilakukannya selepas mengangkat sumpah sebagai menteri pertahanan nanti, Mohamad berkata, beliau akan mendapatkan taklimat dan berkenalan dahulu dengan pegawai yang akan berkhidmat bersamanya.

“Saya akan dengar taklimat dan berkenalan dahulu. Selepas itu barulah saya kemukakan idea-idea dan pandangan saya untuk kepentingan angkatan tentera dan keselamatan negara,” katanya.

Mohamad bersyukur kerana tidak dilantik menjaga kementerian yang terlibat secara langsung dengan politik di negara ini kerana tentera terlibat sepenuhnya untuk menjaga keselamatan negara.

Antara pandangan awal Mohamad ialah beliau tidak bersetuju dengan amalan sebelum ini yang banyak memberikan pangkat dan seragam tentera untuk orang-orang awam khasnya pemimpin politik.

“Tentera adalah tentera. Anugerah kepada orang politik dengan uniform dan pangkat tentera boleh disalahgunakan

“Saya mahu tentera mengekalkan disiplinnya tersendiri manakala kami orang politik ini hanya mengawal polisi-polisi sahaja,” kata Mohamad. – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen