Anwar pukau ribuan penyokong selepas dibebaskan


The Malaysian Insight

ANWAR Ibrahim yang diberi pengampunan dan dibebaskan semalam, memukau ribuan hadirin pada Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur, Petaling Jaya malam tadi.

Kira-kira 6,000 penyokong Ketua Umum PKR itu datang untuk mendengar pidato beliau yang juga dipanggil “Pak Syeikh”, oleh sesetengah penyokong.

Sebaik sahaja penganjur mengumumkan Anwar akan menyampaikan ucapan, hadirin mula bersorak dan memberi tepukan gemuruh sambil melaungkan “Reformasi”.

Anwar mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir dan berkata “kuasa rakyat” lah yang telah memberi Pakatan Harapan (PH) mandat untuk memerintah negara untuk lima tahun akan datang.

Beliau juga meminta hadirin untuk “membantai” menteri yang tidak melaksanakan tugas cemerlang dalam kerajaan baru. “Tapi bukan Tun (Dr Mahathir),” seloroh Anwar.

Antara pemimpin PH yang hadir ialah Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Pandan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Terdahulu, hadirin bersorak gembira apabila Nurul Izzah mengumumkan bahawa tiada lagi GST bermula 1 Jun ini.

Pada jam 10 malam, padang bersebelahan Amcorp Mall itu mula penuh dengan hadirin yang mula datang seawal jam 6 petang.

Sebaik sahaja Lim Guan Eng mula naik ke pentas, mereka melaungkan “Tangkap Najib”.

Ketika berucap, bekas ketua menteri Pulau Pinang itu meminta hadirin menyanyi lagu “Rakyat bersatu tolak GST” bersama-sama beliau.

Pelajar Universiti Malaya, Adam Riong, 25, berkata beliau datang ke perhimpunan itu bagi meraikan “detik bersejarah” ini, yang merujuk kepada kemenangan PH dalam PRU14.

“Kami mahu lihat kemajuan tetapi mereka baru saja ambil alih kerajaan. Jadi, kita perlu beri mereka masa sebelum membuat penilaian.

“Kami juga mahu mereka penuhi janji-janji mereka,” katanya.

Acara berakhir menjelang tengah malam. – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen