Pelancong, hotel tidak boleh lari daripada cukai pelancongan


Looi Sue-Chern

Menerusi cukai pelancongan baharu, hotel bertaraf lima bintang akan dikenakan levi RM20 setiap bilik, setiap malam; empat bintang (RM10), tiga hingga dua bintang (RM5); dan premis tidak ada penarafan bintang (RM2.50). – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2017.

PELANCONG domestik dan pemilik hotel berdaftar rasa tertekan dan tidak dapat berbuat apa-apa terhadap cukai pelancongan yang akan dikuatkuasakan oleh Putrajaya bermula 1 Julai depan.

Ramai antara mereka terutama pemilik hotel, mengkritik langkah itu yang dirasakan penghalang kepada pelancongan domestik.

“Jika kos sara hidup meningkat, maka biasalah untuk kos bercuti turut meningkat,” kata warga Pulau Pinang yang hanya mahu dikenali sebagai Loo.

“Semuanya lebih mahal. Anda fikir kerajaan akan berhenti selepas GST (cukai barangan dan perkhidmatan)? Senang sangat kutip cukai daripada rakyat.

“Tanggapannya ialah kerajaan tidak ada duit kan? jadi sudah tentu mereka akan tambah lagi kenakan cukai pada rakyat,” katanya.

Hotel bertaraf lima bintang akan dikenakan levi RM20 setiap bilik, setiap malam; empat bintang (RM10), tiga hingga dua bintang (RM5); dan premis tidak ada penarafan bintang (RM2.50).

Di sebalik rasa skeptikal, Loo berasakan cukai itu tidak akan terlalu menjejaskannya walaupun mengakui RM20 setiap malam agak mahal.

Tetapi itu untuk bilik hotel lima bintang – jenis yang tidak akan ditempah untuknya dan keluarga setiap kali ke Kuala Lumpur, Melaka dan Langkawi. Dia hanya menginap di hotel tiga bintang atau bajet.

“Saya tidak fikir kami perlukan lebih dua malam. Jadi jumlahnya lebih RM10 setiap bilik, RM20 untuk dua bilik.

“Ia tidak terlalu teruk, terutamanya jika bil dibahagikan,” katanya.

Guru sekolah rendah dari Kampar, Sarah juga berkata bercuti mengikut kemampuan seseorang.

“Bagi orang yang menempah hotel lima bintang boleh mampu harga RM800 satu malam, jadi apa sangat tambahan RM20 untuk mereka,” katanya.

Pengurus pemasaran dari Kuala Lumpur Cindy Ling, 33, berkata cukai baharu itu “idea buruk untuk pelancongan tempatan negara”.

Katanya, beberapa negeri seperti Pulau Pinang dan Melaka sudah pun mengenakan hotel levi setiap malam, dan dengan GST, tetamu perlu membayar tiga cukai berbeza.

“Ia gila. Ia mungkin tiada kesan terhadap pelancong asing kerana kadar tukaran wang, tetapi ia menjejaskan pelancongan domestik.

Pemilik hotel tidak gembira

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cheah Swee Hee dalam satu kenyataan semalam berkata model cukai itu tidak adil dan akan membebankan hotel serta pengguna.

Beliau berkata kurang 15% atau 3,126 penyedia penginapan di Malaysia berdaftar sementara 6,452 lagi tidak berdaftar, manakala 11,698 menawarkan penginapan menerusi Airbnb.

“Lebih pun, undang-undang itu tidak menjelaskan bagaimana penyedia penginapan tidak berdaftar, termasuk yang beroperasi di bawah Airbnb, akan dibawa masuk ke dalam sisitem itu.

“Walaupun jika mereka berdaftar, kadar untuk penginapan tanpa penarafan lebih rendah walaupun mereka bersaing secara langsung dengan yang lain dalam menawarkan penginapan,” katanya.

Cheah berkata MAH, Persatuan Pemilik Hotel Malaysia dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia bersatu menghantar memorandum kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Jabatan Kastam untuk meluahkan kebimbangan mereka.

“Persatuan rasa sumbangan itu perlu dikongsi secara adil, termasuk mereka yang beroperasi di luar sistem sedia ada sekarang, dan kos kutipan cukai perlu seminimum mungkin,” katanya.

Tidak adil kepada “pengutip cukai”

Pengerusi MAH Pulau Pinang Khoo Boo Lim bersetuju yang cara pengurusan kutipan cukai itu tidak adil kepada hotel berdaftar, menyebabkan mereka menjadi ejen kutipan cukai, sementara penginapan lain mungkin terkecuali daripada tugasan sama.

“Penyedia penginapan kecil-kecilan seperti mereka yang ada kurang 10 bilik mungkin tidak perlu kutip cukai, sama juga seperti inap desa tidak akan terjejas.

“Tambahan lagi kami juga berdepan dikenakan cukai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Cukai tambahan jejaskan tetamu hotel

Pada masa ini, hotel di Pulau Pinang dan Langkawi, destinasi pelancongan popular mengenakan levi terhadap hotel bagi setiap malam.

Di Pulau Pinang, tetamu membayar RM3 setiap malam di hotel lima dan empat bintang, RM2 di hotel tiga bintang dan ke bawah. Kerajaan negeri memperkenalkan levi itu pada Jun 2014.

Di Langkawi, tetamu membayar yuran promosi pelancongan RM9 setia malam di hotel tujuh bintang, RM7 (enam bintang), RM5 (lima bintang), RM3 (tiga dan empat bintang) dan RM1 (satu atau dua bintang). Yuran itu diperkenalkan pada Julai tahun lalu.

Khoo berkata levi hotel sedia ada di Pulau Pinang masih ok tetapi cukai pelancongan persekutuan lebih tinggi.

Katanya, kerajaan sepatutnya boleh menyasarkan cukai dikenakan pada pelancong asing saja, tetapi itu pun mungkin akan menyebabkan pelancong yang menetap bagi tempoh masa panjang di negara ini tidak gembira kerana terpaksa membayar lebih.

Cukai baharu yang tidak pasti

Pengerusi MAH Kedah dan Perlis Eugene Dass berkata masih belum pasti jika rancangan mengenakan cukai pelancongan baharu itu akan diteruskan, susukan kebimbangan yang dibangkitkan pemilik hotel seluruh negara.

Khoo berkata jika ia diteruskan, pemilik hotel perlu diberikan masa untuk menyesuaikan diri.

“Bila MAH menghadiri mesyuarat dengan Kementerian Pelancongan, saya diberitahu banyak soalan dikemukakan. Kementerian kata mereka akan selesaikan.

“Saya rasa kerajaan akan teruskan rancangan pelaksanaan cukai itu. Saya harap kami akan diberi masa untuk sesuaikan keadaan,” katanya. – 12 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen