Wan Azizah tolak jadi PM kerana janji Pakatan, kata Anwar


The Malaysian Insight

PRESIDEN PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak peluang jadi Perdana Menteri kerana Pakatan Harapan sudah berjanji jawatan itu akan dipegang oleh Dr Mahathir Mohamad, kata Anwar Ibrahim.

Dalam pidato sulungnya malam tadi selepas diberikan pengampunan oleh Yang Di-Pertuan Agong, Anwar menceritakan episod pertemuan isterinya itu dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas Pakatan menang Pilihan Raya Umum ke-14 minggu lalu.

“Selepas kira undi, Azizah bila disebut (sebagai) Presiden Keadilan (PKR) dapat kerusi terbanyak dan semua calon bertanding bawah Keadilan, maka Azizah dicadangkan Agong, adakah Azizah sedia jadi Perdana Menteri.

“Azizah jawab patik menjunjung titah tapi patik tak sedia sebab kita dah buat perjanjian dalam Pakatan Harapan yang Tun Mahathir akan jadi Perdana Menteri, ” katanya di hadapan ribuan penyokong Pakatan Harapan yang membanjiri Padang Timur di Petaling Jaya.

“Agong lepas tu terus bertitah ‘I will do it now’, (beta akan lakukannya sekarang) ‘as fast as possible’ (secepat mungkin),” kata beliau disambut dengan laungan “Reformasi”.

Anwar yang menjalani hukuman penjara sejak Februari 2015 turut mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana turut membantu mempercepatkan proses pengampunannya hari ini.

Bagaimanapun menurut beliau, yang paling berjasa ialah rakyat yang memilih untuk menolak Barisan Nasional yang memerintah negara selama 61 tahun dan memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk menerajui kerajaan.

“Kita ucap terima kasih kepada Perdana Menteri sebab setelah pegang jawatan, beliau segerakan proses pengampuanan ini.

“Tapi saya nak ulang, yang paling berjasa antara semua ini ialah rakyat Malaysia dan kebangkitan rakyat tumbangkan BN. Apalah saya tanpa anda, siapalah saya tanpa saudara dan saudari,” kata beliau. – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen