Anwar tegur ahli Parlimen Pakatan rebut jawatan menteri


The Malaysian Insight

KETUA Umum PKR Anwar Ibrahim malam ini menegur ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang lebih mementingkan jawatan sebagai menteri berbanding berkhidmat untuk rakyat, selepas memenangi Pilihan Raya Umu Ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

Beliau dipercayai berkata demikian di hadapan kira-kira 5,000 hadirin di ceramah pembebasannya malam ini selepas PKR menghantar 10 nama calon kabinet berbanding tiga nama yang diminta oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya sindir MP (ahli Parlimen) ramai nak jadi menteri. Tengok cerminlah dulu. Dah menang, Alhamdulillah. Rakyat bagi sokongan. Jadi menteri, jalanlah (buatlah) kerja. Sibuk nak jadi menteri,” katanya di Padang Timur, Petaling Jaya malam tadi.

Antara pemimpin PH yang turut berucap malam tadi merupakan Saifuddin Abdullah, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng, Muhyiddin Yassin dan Rafizi Ramli.

Anwar yang sebelum ini menjalani hukuman penjara sejak Februari 2015 atas kesalahan meliwat, memuji Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dengan memberi contoh usaha beliau memberi ceramah kepada rakyat Malaysia meskipun tidak layak bertanding pada PRU14 baru-baru ini.

“Work has to go on. Rafizi tak boleh bertanding. Baik tak baik, nasib menang. Kerja tungkus lumus macam orang bertanding.

“Lebih kuat dari yang bertanding,” katanya memuji pengasas Invoke itu.

Anwar turut menambah, beliau akan terus menyokong kepimpinan Dr Mahathir meskipun beliau tidak memegang sebarang jawatan di dalam Kabinet.

“Tun dia baik hati tengok saya macam tak ada apa kerja tak ada, MP pun tak ada.

“Dia kata macam mana nak ke Kabinet. Saya kata Tun, you jalan (teruskan kepimpinan), kita sokong you. Jangan bimbang. Saya tak payah (berada dalam) Kabinet. Saya sokong (saja),” katanya. – 17 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen