KETUA Umum Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim malam ini menyatakan sokongan terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang dinamakan sebagai Menteri Kewangan yang menurutnya amat sesuai menggalas tugas tersebut.
Anwar berkata Lim, sebagai orang Cina, telah membawa banyak kemajuan kepada Pulau Pinang dan rakyat tidak seharusnya marah apabila portfolio kewangan itu diberi kepada orang bukan Melayu.
“Anda semua marah sebab namanya Lim Guan Eng. Kalau namanya Mat Sabit, walaupun dia curi berbilion ringgit, tak apa.
“Tapi saya nak beritahu satu perkara. Lim telah menaikkan nama dan ekonomi Pulau Pinang,” kata Anwar di hadapan kira-kira 6,000 hadirin.
Bekas timbalan perdana menteri itu juga memberi amaran kepada Lim supaya berjaga-jaga dengan mereka yang suka mengambil kesempatan, yang mungkin mahu menyalah guna kedudukannya.
“Bukan mudah jadi menteri kewangan. Kan ada singa, beruang, gajah dan ular yang mendekati. Hati-hati Guan Eng.”
Awar juga berkata Lim diberikan portfolio kewangan kerana semua kontrak yang akan beliau anugerahkan akan telus dan dibuat melalui tender terbuka.
“Sebab itulah kami letakkan beliau (Lim) di sana. Beliau memastikan semua kontrak di Pulau Pinang melalui tender terbuka,” kata Anwar. – 17 Mei, 2018.
Komen