Wan Azizah janji Pakatan tak akan zalim


The Malaysian Insight

TIMBALAN Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Pakatan Harapan (PH) tidak akan melakukan kezaliman selepas mengambil alih kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Beliau yang juga isteri kepada Ketua Umum PKR dan PH Anwar Ibrahim berkata, ini kerana PH yang sebelum ini merupakan sebuah parti pembangkang pernah mengalami keadaan ditindas oleh kerajaan terdahulu yang dipimpin oleh Najib Razak.

“Wahai rakyat Malaysia, kita buat peralihan dengan baik. Kita bersyukur, sambut Ramadhan dengan kebebasan dan kita tahu bagaimana peritnya sebagai pembangkang yang tertindas.

“Jadi..ingat, Anwar Ibrahim biasa terpenjara dan dizalimi. Kita tak boleh zalimi orang yang tak bersalah.

“Jadi, kita sebagai kerajaan yang ambil alih perlu bertanggungjawab. Tak boleh lakukan kezaliman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 6,000 hadirin di ceramah menyambut “Kebebasan Anwar” di Padang Timur, Petaling Jaya malam ini.

Presiden PH itu juga melahirkan perasaan terkejutnya apabila program parti gabungan itu mendapat liputan TV3.

TV3 merupakan media pro-Umno dan sering menabur fitnah dengan melaporkan berita-berita yang tidak benar mengenai parti gabungan PH sebelum PRU14.

“Siapa sangka kita datang pada malam ini untuk ceramah diiringi oleh Anwar Ibrahim.

“Tak pernah kita sangkakan program kita ini akan dapat liputan ‘live’ TV3,” kata Dr Wan Azizah. – 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen