Rafizi seru Pakatan sayangi pembangkang


The Malaysian Insight

NAIB Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini menyeru rakan-rakan beliau dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menyayangi pembangkang yang terdiri dari Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Menurut Rafizi, PH yang telah bertahun menjadi pembangkang sudah pasti tahu betapa sukarnya bekerja untuk rakyat di bawah kerajaan yang tidak adil. 

“Saya nak bagi ingatan bahawa berpuluh tahun jadi pembangkang di Putrajaya, kita tahu susahnya bila kerajaan Persekutuan dulu tak adil kepada kita.

“Pakatan Harapan harus ingat, kita perlu sayang kepada pembangkang kerana mereka perlu menjaga kita. BN dan PAS ada tugas besar sebagai pembangkang, memastikan hak dan kepentingan rakyat diangkat.

Rafizi yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu turut menyeru seluruh media untuk memainkan peranan sebagai penyemak imbang dan memberi liputan yang adil kepada mereka. 

“Saya minta TV3, RTM, Utusan dan semua media supaya berlaku adil kepada BN, PAS dan Pakatan Harapan untuk rakyat Malaysia,” kata beliau. 

Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah berjanji agenda reformasi yang diperjuangkan PKR selama 20 tahun ini akan terus diperjuangkan dengan baik kerana PH tidak melaksanakan perjuangan mereka dengan hasad dengki atau dendam. 

“Ya, kita tak berdendam, kita teguh dengan kasih sayang. 

“Kita takut dengan rakyat, bukan rakyat takut dengan kerajaan,” kata beliau. 

Lebih 3,000 hadirin memenuhi Padang Timur di Petaling Jaya untuk meraikan kepulangan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang akan membuat kemunculan dan pidato pertama selepas dipenjarakan sejak  pada Februari 2015. – 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen