BEKAS perdana menteri Najib Razak membuat kemunculan pertamanya di khalayak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu di Masjid Jamek Kapung Baru malam ini.
Pada kira-kira jam 10.15 malam, Najib memuat naik gambar beliau sedang mendirikan solat terawih di masjid itu, berserta sepotong Hadis Riwayat Bukhari, “Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah, diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”
“Alhamdulillah malam ini dapat solat sunat terawih di Masjid Kg Baru. Semoga kita semua sentiasa diberkati Allah SWT,” kata Najib.
Najib tidak keluar rumah sejak mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden Umno empat hari lalu.
Seorang pengguna Twitter, Izzat Ikhwan yang menggunakan akaun @JatIkhwan menerusi postingnya pada 8.40 malam tadi berkata beliau tidak menyangka akan menunaikan solat bersama Najib dan memuat naik gambar bekas perdana menteri itu.
“Allahu tak sangka. Solat dengan @NajibRazak,” kongsi Izzat di Twitter.
Pos Izzat itu dimuat naik 20 minit selepas media melihat Toyota Vellfire berwarna putih yang diiringi dua polis pengiring meninggalkan kediaman Najib di Jalan Langgak Duta.
Najib meninggalkan masjid tersebut selepas jam 10 malam menggunakan pintu belakang.
Terdahulu, kira-kira jam 6.05 petang tadi, sebuah lori dilihat memasuki kawasan kediaman bekas presiden Umno itu. Menurut wartawan yang berada di situ, mereka melihat beberapa barang dimuatkan ke dalam lori namun tidak dapat dipastikan barang apakah barangan tersebut. – 16 Mei, 2018.
Komen