TIGA ahli parlimen Warisan – Mohammadin Ketapi, Darrel Leiking dan VK Liew merupakan antara enam nama yang dikemukakan untuk dipertimbangkan bagi jawatan menteri persekutuan, kata ketua menteri Sabah Shafie Apdal.
Paling kanan adalah ahli Parlimen Penampang, Leiking, yang merupakan timbalan presiden parti manakala Mohammadin, ahli Parlimen Silam merupakan pengerusi penyelaras Warisan.
Pengerusi tetap Warisan, VK Liew yang merupakan ahli Parlimen Batu Sapi pula adalah bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa masih dalam parti LDP.
Shafie berkata walapun nama berkenaan telahpun dikemukakan kepada Kuala Lumpur, perkara itu masih lagi bawah budi bicara perdana menteri.
“(Kita ada) banyak tokoh yang mempunyai kepakaran dan kelulusan untuk membantu mentadbir negara kita.
“Dr Mahathir adalah orang yang bijaksana, beliau tentunya dapat mengambil kira apa pandangan untuk Sabah sebab kita menyokong beliau selama ini,” kata Shafie dalam sidang medianya di Kota Kinabalu hari ini.
Turut dikemukakan adalah nama ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman yang merupakan ahli perbankan, dan juga ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan, seorang akauntan.
Tambahnya, beliau juga menyarankan agar DAP mengemukakan nama ahli parlimen dari parti mereka untuk dicadangkan sebagai anggota kabinet.– 16 Mei, 2018.
Komen