KETUA Menteri Sabah Shafie Apdal mempertahankan keputusannya untuk turut mengisi kedudukan sebagai menteri kewangan dalam kabinet baharu negeri yang mengangkat sumpah jawatan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa tindakan itu bagi memastikan urusan kewangan negeri kembali diletakkan di landasan yang betul.
“Lainlah jika anda ada kepentingan lain dalam fikiran. Jika anda tidak ada kepentingan, mengapa ia harus dipersoal?”
“Saya mahu pastikan urusan kewangan kemabli diletakkan pada landasan yang betul dan pada masa sama ekonomi dapat (ditangani),” kata Shafie.
Tambahnya, tindakan itu juga bagi membolehkan kerajaan pimpinan parti Warisan itu dapat menunaikan janji dalam manifesto pilihan rayanya.
“Kami berharap kami akan dapat menjalankan janji tersebut,” katanya lagi dalam sidang media di kediamannnya selepas majlis mengangkat sumpah anggota kabinetnya hari ini.
Keputusannya untuk menjawat kedudukan sebagai menteri kewangan itu menimbulkan persoalan kerana bertentangan dengan amalan kerajaan baharu Pakatan Harapan di peringkat persekutuan.– 16 Mei, 2018.
Komen