KETUA PKR Sarawak, Baru Bian telah menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan rasuah terhadap Gabenor Abdul Taib Mahmud.
Baru berkata rakyat Sarawak ingin mengetahui apa yang berlaku ke atas siasatan yang dijalankan semasa Taib menjadi ketua menteri.
Taib, yang memegang jawatan ketua menteri dari 1981 hingga 2014, telah dituduh memberi kontrak kerajaan dan konsesi balak kepada ahli keluarga serta kroninya di sepanjang perkhidmatan beliau.
“Telah didedahkan beberapa tahun lalu bahawa SPRM memeriksa 500 fail dan membuka sekurang-kurangnya 10 kertas siasatan selepas menerima beberapa aduan mengaitkan Taib,” kata Baru.
“Tiada sebarang hasil siasatan. Rakyat Sarawak mahu tahu apa yang berlaku terhadap siasatan tersebut, dan kami menjangkakan pihak berkuasa jalankan tanggungjawab apabila ia melibatkan pembanterasan rasuah serta pendakwaan ke atas mereka, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.”
Beliau berkata rasuah perlu dibanteras dengan menyeluruh, dan ia tidak semestinya hanya mengenai 1MDB.
“Rasuah sudah berleluasa di seluruh Malaysia dan Sarawak tidak terkecuali. Malah, rasuah di Sarawak telah diketahui di seluruh dunia.
“Pihak berkuasa mesti meneruskan siasatan.”
Baru berkata ahli-ahli politik di negeri lain yang didakwa terlibat dengan rasuah juga perlu disiasat. – 16 Mei, 2018.
Komen