JAWATANKUASA Reformasi Institusi mungkin akan mencadangkan penubuhan satu versi Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC), di mana orang awam boleh membuat aduan mengenai polis.
Ahli jawatankuasa, Mah Weng Kwai selepas mesyuarat sulung majlis berkenaan berkata cadangan yang dibuat oleh suruhanjaya siasatan diraja mengenai perkara itu pada 2015 akan dikaji semula.
Bekas hakim Mahkamah Rayuan dan bekas pesuruhjaya Suhakam itu berkata, beberapa cadangan yang akan dikemukakan kepada kerajaan dalam tempoh 60 hari, mungkin akan melibatkan pindaan terhadap undang-undang sedia ada.
Turut hadir pada mesyuarat sulung jawatankuasa itu hari ini ialah bekas hakim Mahkamah Rayuan KC Vohrah, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brig Jen (B) Mohamed Arshad Raji dan profesor undang-undang dari Universiti Malaya Shad Saleem Faruqi.
IPCMC adalah antara cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysiadalam laporannya pada 2005.
Cadangan tersebut pada ketika itu ialah untuk membentuk badan siasatan bagi menyiasat aduan mengenai anggota polis dan untuk meningkatkan profesionalisme pasukan polis serta meningkatkan keberkesanannya dalam menjalankan tugas kepolisan.
Badan Peguam telah berulangkali menggesa supaya badan itu ditubuhkan, susulan beberapa kematian dalam tahanan.
Mah berkata jawatankuasa itu akan mempertimbangkan cadangan yang dibuat pada 2005 dan akan menilai respon yang akan diterima.
Apabila ditanya bantahan yang mungkin diterima dari pihak polis atas penubuhan badan pengawasan tersebut, Voharah berkata “Kami akan menelitinya jika terdapat bantahan. Kami akan menebual mereka… (bertanya) dan minta mereka berjumpa dan bercakap dengan kami.
“Kami akan lihat bagaimana mereka akan menerimanya, sama ada menentang atau tidak.” – 16 Mei, 2018.
Komen