KETUA Umum PKR, Anwar Ibrahim yang bebas dari penjara siang tadi dijadual akan memberikan pidato sulungnya malam ini, yang pertama dalam masa tiga tahun sejak beliau dipenjarakan pada Februari 2015.
Beliau muncul dalam rapat umum yang digelar Himpunan Merdeka Rakyat, yang diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya.
Tinjauan Malaysia Decides mendapati para penyokong Pakatan Harapan (PH) mula berhimpun di padang dekat stesen LRT berseberangan dengan Amcorp Mall itu sejak petang tadi.
Suasana terasa seperti karnival dengan lebih kurang 40 trak makanan menjual pelbagai juadah yang jadi tumpuan orang ramai sejak selepas hujan reda kira-kira pukul 6 petang tadi.
Selain trak makanan, terdapat kira-kira 10 gerai menjual pek memorabilia PKR dan baju-T menampilkan wajah Anwar yang dijanjikan jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-8 oleh gabungan PH yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 minggu lalu.
Kakitangan sebuah badan masyarkat, Lawrence de Cruz berkata beliau hadir untuk melihat Anwar berucap kerana telah menyokong PKR hampir 20 tahun.
“Kami mahu beliau menjelaskan masa depan PKR dan kerjasama dengan Dr Mahathir.
“Kami juga mahu mendengar perancangan masa depan negara oleh beliau” katanya kepada Malaysia Decides.
Pelukis karikarur Megat Roslan Abdul Hahid pula berminat mahu tahu perubahan yang akan dibawa Anwar untuk PKR dan Malaysia.
“Apa yang kita mahu lihat ialah perubahan dalam kerajaan dan kebebasan bersuara untuk mengekspresi diri kami.
“Kami tak mahu dihalang seperti yang dilakukan kerajaan sebelum ini,” katanya.
Jason Toh pula berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang keemasan melihat Anwar berucap malam ini.
“Rakyat telah berjuang bersama beliau sepanjang 20 tahun ini. Saya gembira beliau melihat masa depan negara tanpa dendam bila sanggup bekerjasama dengan Dr Mahathir untuk negara. Saya tidak akan lepaskan peluang ini,” kata beliau. – 16 Mei, 2018.
Komen