Pakatan Harapan didaftar secara rasmi hari ini


The Malaysian Insight

PAKATAN Harapan (PH) hari ini disahkan sebagai sebuah pertubuhan rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), genap seminggu selepas kerajaan Barisan Nasional tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Gabungan politik empat parti itu sebelum ini berdepan kerenah pentadbiran Najib Razak ketika hendak didaftarkan sebelum PRU14.

Sumber PH mengesahkan sijil pendaftaran gabungan itu sudah tersebar di laman aplikasi WhatsApp.

“Kita sepatutnya umumkan perkara ini esok akan tetapi sijil pendaftaran sudah disebarkan kepada umum,” kata sumber PH itu dengan syarat tidak dinamakan.

Pada Februari lalu, RoS mengatakan pendaftaran PH tidak dapat diproses buat masa ini kerana satu daripada parti komponennya masih belum menjawab dan menyerahkan semua maklumat dan dokumen seperti diarahkan.

Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim berkata pendaftaran PH tidak dapat diproses kerana Bersatu belum menjawab dan menyerahkan semua maklumat dan dokumen seperti yang dinyatakan dalam Notis mengikut Seksyen 14(2), Akta Pertubuhan 1966.

Bagaimanapun, Bersatu berkata mereka menyerahkan semua dokumen berkaitan yang diminta RoS memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan pertubuhan itu.

Parti komponen PH  bagaimanapun tetap dengan pendirian bahawa tarikh akhir sepatutnya pada 9 April, iaitu tarikh surat diterima dan bukan pada 29 Mac.

RoS menghantar notis bertarikh 28 Februari kepada Bersatu meminta parti itu memberikan minit mesyuarat dan dokumen kewangan dalam masa 30 hari daripada tarikh berkenaan atau menghadapi risiko dibatalkan pendaftaran.

Notis itu dikeluarkan di bawah Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966. – 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen