GST sifar berkuat kuasa 1 Jun


The Malaysian Insight

CUKAI barangan dan perkhidmatan (GST) akan berada pada kadar sifar berkuatkuasa pada 1 Jun ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini.

Kementerian itu berkata ini meliputi semua barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dan diimport di negara ini dan tidak diguna pakai ke atas barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan GST.

Menurut kenyataan tersebut, arahan ini berkuatkuasa di seluruh negara sehingga notis selanjutnya  diberitahu kelak, dan harus dipatuhi oleh semua peniaga yang berdaftar.

“Peniaga juga perlu memastikan harga barang dan perkhidmatan yang ditetapkan adalah mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 setiap masa,” menurut kenyataan itu.

GST telah dilaksanakan pada 1 April 2015.

Pakatan Harapan melalui manifestonya berjanji akan memansuhkan cukai berkenaan apabila berjaya membentuk kerajaan. – 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen