PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin berkata beliau telahpun menasihatkan Menteri Besar Johor Osman Sapian supaya memilih “orang parti atau Pakatan Harapan (PH)” untuk membantu pentadbirannya.
Muhyiddin yang juga bekas menteri besar Johor dari 1986 hingga 1995 berkata Osman sepatutnya tidak tergopoh-gapah kerana ia bakal mendatangkan kemarahan daripada rakyat di negeri itu.
“Saya sudah bagi nasihat juga kepada beliau supaya jangan tergopoh-gopoh dan dalam tempoh awal ini kita harus bertindak secara berhati-hati kerana beliau orang baru mungkin tak ada pengalaman dan saya berikan pandangan supaya yang patut diutamakan ialah ahli-ahli parti dan Pakatan Harapan.
“Sebaiknya beliau kena mengambil kira tentang ramai lagi tokoh-tokoh yang mampu memikul tugas sama supaya tak membangkitkan rasa kurang senang hati dan kemarahan,” kata beliau ketika ditemui selepas berkunjung ke rumah Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim hari ini.
Osman ditegur kerana melantik bekas presiden Majlis Daerah Kota Tinggi Fizwan Rashidi sebagai Setiausaha Sulitnya.
Fizwan didakwa merupakan bekas pemimpin Umno Bahagian.
Dalam pada itu Muhyiddin turut memberitahu PH bakal menubuhkan satu badan penasihat untuk membantu melicinkan pentadbiran dan pelaksanaan dasar mereka di Johor.
Cadangan itu menurut beliau telahpun dipersembahkan kepada Sultan Johor sendiri.
“Bukan campur tangan. Tapi idea-idea yang boleh diguna pakai kerana ini kerajaan baru ganti kerajaan lama. Terbentuk satu dasar baru, manifesto kita janjikan ini. Saya kira pimpinan negeri akan menghadapi pelbagai cabaran, jadi saya menawarkan pengalaman saya membantu supaya keyakinan rakyat Johor terhadap Pakatan Harapan meningkat,” kata beliau. – 16 Mei, 2018.
Komen