PERDANA menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan tiada ahli Barisan Nasional akan diterima masuk ke dalam Pakatan Harapan selepas kekalahan parti itu pada pilihan raya umum baru-baru ini.
Beliau yang juga pengerusi PH berkata demikian berikutan ramai pihak terutamanya rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan kenyataan beberapa Adun BN yang mengisytiharkan mereka akan menyertai Bersatu.
“Kita nampak ramai orang dari parti lawan yang kalah, mereka ingin masuk parti dalam PH.
“Tapi kita nampak rakyat tak boleh terima. Sebab itu mereka tak harus diterima jadi ahli walaupun mereka boleh isytihar keluar parti mereka dan nyatakan secara individu sokong kerajaan kerana ini tak dipandang baik oleh rakyat kerana tidak mahu dikata (seperti) sebuah kerajaan yang lama,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, antara ahli BN yang mengumumkan keluar parti atau menyatakan sokongan terhadap PH merupakan Adun dari Sabah, Perak dan Johor.– 16 Mei, 2018.
Komen