Jawatankuasa Reformasi Institusi akan cadang Akta Antiberita Tidak Benar dimansuh


The Malaysian Insight

JAWATANKUASA Reformasi Institusi yang mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini, berkemungkinan akan mencadangkan Akta Antiberita Tidak Benar yang diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 dimansuhkan.

Ahli jawatankuasa, Ambiga Sreenevasan berkata mereka mencadangkan “pemansuhan penuh” bukan hanya terhadap akta tersebut, tetapi Akta Hasutan serta beberapa akta lain yang “menjejas kebebasan asas” negara.

Akta Antiberita Tidak Benar dibentangkan di Parlimen pada 26 MAc lalu dan diluluskan pada 2 April dengan majoriti mudah.

Mereka yang didapati bersalah di bawah akta ini akan dikenakan hukuman penjara sehingga enam tahun dan denda maksimum RM500,000.

Salah satu manisfesto kerajaan Pakatan Harapan ialah untuk memansuhkan undang-undang tersebut yang dikatakan terlalu kabur disamping hukumannya yang amat berat.

Turut hadir pada mesyuarat sulung jawatankuasa itu hari ini ialah bekas hakim Mahkamah Rayuan  KC Vohrah dan Mah Weng Kwai, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan  Brig Jen (B) Mohamed Arshad Raji dan profesor undang-undang dari Universiti Malaya Shad Saleem Faruqi.

“Kami semua ada pandangan masing-masing tetapi saya fikir kami mencadangkan ia harus dimansuhkan sepenuhnya,” Ambiga memberitahu wartawan hari ini.

“Itulah yang sedang kami teliti. Dan kami juga meneliti beberapa undang-undang yang boleh dimansuhkan sepenuhnya serta beberapa pindaan yang diperlukan.

“Ini termasuk juga semua undang-undang yang zalim. Tak perlu saya senaraikannya, semua tahu. Semua akta-akta ini telah menjejaskan Perlembagaan kita, termasuk Akta Rahsia Rasmi. Kami sedang meneliti,” katanya.

Mah pula berkata terdapat undang-undang yang sudah cukup bagi menangani hasutan dan fitnah dan berita palsu, seperti undang-undang fitnah.

“Tiada siapa membenarkan apa-apa yang palsu. Tetapi bagi kami, dengan undang-undang sedia ada, sudah ada cukup peruntukan untuk menangani keadaan seperti itu.”

Tambah beliau, penalti di bawah Akta Antiberita Tidak Benar adalah amat berat.

Dr Mahathir semalam berulangkali berkata kerajaan akan mengekalkan akta tersebut, tetapi dengan definisi yang lebih jelas mengenai apa yang dimaksudkan dengan berita palsu.

Beberapa pemimpin PH telah menggesa akta itu dimansuhkan dan berkata sekiranya ia dikekalkan, ini bermakna Ph telah melanggar janji di dalam kempen mereka sebelum ini.  – 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen